LAPAN GRO warga asing ditahan dalam operasi. -Foto MOHAMAD SHAHRIL BADRI SAALI
Norizuan Shamsuddin
norizuan@hmetro.com.my


PETALING JAYA: Berhibur sambil dibelai wanita pelayan pelanggan (GRO) warga Indonesia. Itu promosi dilakukan sebuah pusat hiburan di Jalan 7/26, Kelana Jaya di sini, untuk menarik lelaki kaki joli mengunjungi premis berkenaan.

Bagaimanapun, tindakan itu terbongkar apabila premis tanpa lesen berkenaan diserbu sepasukan pegawai dan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Maksiat, Judi dan Kongsi Gelap (D7) Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Selangor, kelmarin.

Dalam serbuan jam 12 tengah malam itu, polis menahan 10 individu termasuk lapan wanita Indonesia disyaki GRO menerusi Op Noda.

Pegawai Turus D7 Selangor Deputi Superintendan Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata hasil risikan dilakukan pihaknya mendapati premis berkenaan sudah beroperasi lebih enam bulan.

Katanya, pemeriksaan dilakukan mendapati premis itu menggunakan wanita Indonesia sebagai GRO untuk menarik pelanggan.


BILIK yang dijadikan tempat tinggal GRO warga asing.

“Mereka (GRO) dibayar komisen bagi setiap pelanggan yang dilayan dan semakin ramai pelanggan semakin banyak komisen diperoleh. Hasil serbuan, kami menahan lapan wanita warga Indonesia berusia 24 hingga 34 tahun dan semakan mendapati ada antara mereka tidak mempunyai permit selain menyalahgunakan pas lawatan.

“Semua wanita terbabit dipercayai tinggal di dalam empat bilik disediakan di premis berkenaan.

“Kami turut menahan dua lelaki masing-masing warga Bangladesh dan warga tempatan disyaki penjaga premis,” katanya.

Mohd Khaizam berkata selain beroperasi tanpa lesen semakan turut mendapati pemilik premis tidak mempunyai permit untuk menjual minuman keras.

“Susulan itu, polis merampas peralatan hiburan, lapan botol minuman keras dan wang tunai RM100.

“Semua suspek dan rampasan dibawa ke Balai Polis Sungai Way di sini, untuk tindakan lanjut mengikut Peraturan 39(b) Peraturan-Peraturan Imigresen 1963, Seksyen 55b dan Sekyen 6(1) (c)

Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 6(1) Enakmen Hiburan dan Tempat Tempat Hiburan (EHDTTH) 1998 serta Seksyen 35 Akta Kastam 1967,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 27 January 2019 @ 9:06 AM