REEN
Ardini Sophia Sina
hellinie@hmetro.com.my


Walaupun drama bersiri Pujaan Hati Kanda sudah melabuhkan tirai semalam, watak Kak Su tetap menjadi sebutan sekali gus menaikkan nama Reen Rahim yang melakonkan watak itu.

Pelakon ini sama sekali tidak menyangka lakonannya tular dan mendapat perhatian penonton.

Malah, perkataan ‘halah, halah, halah’ yang kerap disebut dalam drama itu turut menjadi ikutan segelintir peminat.

Maklum balas positif yang diterima tidak hanya membuatnya gembira dan bersyukur kerana ia memberi impak besar terhadap kerjaya lakonan tahun ini.

“Alhamdulillah, saya tidak pernah jangka watak Kak Su menjadi fenomena dengan treadmark ‘halah, halah, halah’. Sejak hari pertama watak itu muncul, saya sendiri terkejut kerana ia mendapat maklum balas positif di Instagram dan semuanya komen memuji lakonan saya.

“Ketika drama itu mula ditayangkan, saya sedang bercuti di luar negara. Saya tidak tahu sebesar mana ia menjadi sebutan. Saya ada baca komen tetapi ingatkan biasa-biasa saja. Apabila pulang ke sini baru saya tahu penangan watak Kak Su. Bayangkan, saya sedang isi minyak kereta. Orang sekeliling pandang-pandang.

“Saya abaikan saja hinggalah ada yang memberanikan diri untuk mengambil gambar bersama. Saya layan mereka untuk mengambil gambar di tepi jalan yang agak jauh dari stesen minyak. Kemudian, ada beberapa kereta yang sanggup berhenti untuk mengambil gambar bersama juga. Ketika itu barulah saya tahu watak itu menjadi kegemaran ramai,” katanya.

Membawakan watak wanita kampung yang sering memakai kain batik dan dengan selamba suka cakap lepas itu cukup menghiburkan penonton.

Babak dia memarahi Nadine lakonan Sarah Hildebrand antara yang mencuit hati dan menimbulkan gelak tawa.

Melihat kelebihan yang mungkin membuka peluangnya berlakon dalam genre komedi, Reen sedikit pun tidak kisah jika dia menerima banyak tawaran untuk membawakan watak sedemikian.

“Saya bersyukur kerana diberikan kepercayaan untuk melakonkan watak Kak Su dan peluang berlakon dalam Pujaan Hati Kanda. Ia adalah permulaan yang baik untuk 2019.

“Jika selepas ini semakin banyak tawaran untuk berlakon dalam drama komedi, saya tidak kisah. Insya-Allah, apa saja watak selagi tidak di luar batasan, saya akan terima dan buat dengan baik,” katanya yang mula berlakon sejak 2012.

Reen atau nama sebenarnya Noreen Ashikin Abdul Rahim berkata, dia menyertai program realiti Pilih Kasih musim ketiga dan tuah menyebelahinya apabila berjaya dinobat juara program berkenaan.

Pernah dicalonkan dalam beberapa anugerah, Reen memasang impian suatu hari nanti memegang anugerah Pelakon Wanita Terbaik di Festival Filem Malaysia (FFM).

Katanya, dia yakin setiap anak seni mempunyai sasaran dan harapan sebaik saja memulakan kembara di persada seni tanah air. Namun, Reen sedar dia perlu bekerja keras untuk menggapai impiannya.

“Setiap individu yang menceburi bidang seni pastinya mempunyai sasaran tersendiri. Begitu juga saya yang ingin menggenggam trofi Pelakon Wanita Terbaik pada anugerah FFM kerana ia dinilai juri berdasarkan bakat dan bukannya undian.

“Bagaimanapun, saya sedar perlu gigih berusaha untuk mencapai impian itu. Oleh itu, buat masa ini saya kerja macam biasa dan terima tawaran selagi tidak bertindih dengan drama atau kerja lain.

“Alhamdulillah, rezeki tidak putus. Saya baru selesai dengan penggambaran supertele Puaka Pak Selar untuk Astro First dan lepas ini mula akan mulakan penggambaran filem Mawas,” katanya.


REEN dikatakan bercinta dengan seorang jejaka dikenali sebagai AR yang menetap di Scotland.

‘Saya akan jemput bila kahwin nanti’

Pertengahan tahun lalu, Reen dikatakan bercinta dengan seorang jejaka dikenali sebagai AR yang menetap di Scotland.

Ditanya mengenai perkahwinan, Reen berkata, mereka masih dalam fasa mengenali hati budi masing-masing.

“Bila mahu kahwin? Insya-Allah, ada rezeki masanya akan tiba. Saya akan jemput dan edarkan kad perkahwinan. Bagaimanapun, buat masa ini kami masih saling mengenali hati budi masing-masing.

“Mungkin ada yang tertanya-tanya mengenai hubungan jarak jauh kami dan tidak mustahil pasti ada saja yang akan cuba membuat spekulasi. Bagaimanapun untuk perkara ini saya tidak mahu ulas lanjut,” katanya.

Berkongsi gambar percutiannya baru-baru ini, kata Reen, dia hanya berkongsi 20 peratus kisah peribadi kepada umum dan selebihnya adalah mengenai kerja.

“Boleh dikatakan saya agak terbuka bercerita mengenai kisah peribadi tetapi semuanya ada batasan. Saya tidak mahu cerita peribadi itu lebih banyak diperkatakan berbanding kerjaya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 6:30 AM