DR Shaariibuu bersama Sangeet di luar Mahkamah Tinggi Shah Alam, semalam.
Murni Wan Omar


SHAH ALAM: “Sejak kematian Altantuya, keluarga kami kucar-kacir. Saya berasa seolah-olah kami mati bersama dia,” kata Dr Shaariibuu Setev, 69, dengan nada sebak ketika memberi keterangan di Mahkamah Tinggi.

Beliau berkata demikian ketika memberi keterangan dalam kes samannya terhadap tiga tertuduh dan Kerajaan Malaysia berhubung pembunuhan anaknya.

“Saya tidak dapat ceritakan bagaimana teruknya keadaan. Saya terpaksa jual apartmen dua bilik dan semua barangan berharga bagi menyara dua cucu dan pemergian saya ke Malaysia.

“Anda mungkin rasa pendapatan sebagai profesor di universiti akan tinggi, tetapi di Mongolia paling tinggi pendapatan hanyalah AS$700 (RM2,878) sebulan. Saya bersara lapan tahun lalu dan bekerja sambilan di universiti itu dengan pendapatan tidak sampai AS$1 (RM4.11) sejam. Kini, saya bekerja sambilan dengan pendapatan AS800 (RM3,890),” katanya ketika menjawab soalan peguam Sangeet Kaur Deo.

Shaariibuu berkata, sebelum kematian anak sulungnya itu, Altantuya bekerja keras dan penanggung utama pendapatan keluarga termasuk dirinya serta isteri.

“Dia paling boleh diharapkan dalam keluarga dan turut menyara penuh dua anaknya. Dia adalah seorang ibu yang baik dan sanggup berbuat apa saja demi salah seorang anaknya yang sakit.

“Altantuya bekerja keras dan sering mencari jalan dan rawatan terbaru untuk anak bongsunya, Altanshagai Munkhtulga. Selepas kematian, semua tanggungjawabnya terletak di bahu saya. Dengan usia saya dan isteri, saya tidak mampu untuk buat seperti Altantuya buat,” katanya.

Menurutnya, keadaan kesihatan Altanshagai semakin merosot selepas kematian Altantuya.

“Saya cuba beri rawatan terbaik kepadanya. Dia sentiasa berada dalam keadaan kesakitan dan pada 19 Januari 2017 dia meninggal dunia pada usia 15 tahun. Dia merindui ibunya setiap hari.

“Ketika itu, saya terpaksa bekerja keras untuk menyara keluarga. Anak sulung Altantuya iaitu Mungunshagai Bayarjargal juga terpaksa bekerja. Malah, kami tidak mampu untuk membeli baju sekolahnya,” katanya.

Shaariibuu berkata, dia mengemukakan permohonan itu kerana mahu menuntut keadilan atas kematian Altantuya.

“Perbicaraan kes bunuh itu hanya mengemukakan keputusan semata-mata dan bukan keadilan.

“Saya mencari jawapan di dalam mahkamah yang mulia ini. Saya percaya semua defendan menyebabkan kepada kematian anak saya,” katanya yang memberi keterangan dalam bahasa Mongolia dan diterjemah oleh penterjemah, Enkhjin Batbilig.

Terdahulu, Shaariibuuu dalam keterangannya memberitahu mahkamah bahawa dia pernah melihat e-mel daripada Konsul Kehormat Mongolia di Malaysia, Datuk Syed Abdul Rahman Alhabshee kepada Kedutaan Mongolia yang meminta supaya semua spekulasi berhubung pembabitan Datuk Seri Najib Razak dalam kes itu diketepikan.

“E-mel itu bertarikh 29 Ogos 2008 dan salinan diserahkan kepada saya oleh pegawai kedutaan, Ganbold D. Saya melihat isi kandungan e-mel yang menyatakan secara jelas bahawa beliau (Syed Abdul Rahman Alhabshee) adalah ahli parti yang memerintah ketika itu.

“Di dalam e-mel itu, beliau menuntut supaya semua spekulasi itu diketepikan. E-mel itu diterjemahkan untuk saya oleh peguam Mongolia,” katanya.

Menurut Shaariibuu, dia dimaklumkan berhubung perkembangan siasatan kes kematian anaknya melalui Syed Abdul Rahman Alhabshee dan Timbalan Pengerusi Konsul Kehormat Kementerian Luar Negara, Ariunbold.

“Syed Abdul Rahman Alhabsee adalah orang perhubungan rasmi. Saya ada memberi kepadanya dokumen milik Altantuya yang ditemui di rumahnya di Mongolia, bagi membantu siasatan polis.

“Saya ingat ada menyerahkan rekod penerbangan, dokumen bank dan gambar milik Altantuya kepadanya secara berperingkat. Dia (Syed Abdul Rahman Alhabsee) ketika itu seolah-olah mendesak semua dokumen itu diserahkan segera,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 7:58 AM