PESERTA perarakan menjunjung hidangan Panta Berkucung pada Pesta Adat Perpatih Luak Tanah Mengandung Lengkongan 2019 di Laman Gentam, Kuala Pilah.
Amran Yahya
cnews@nstp.com.my


KUALA PILAH: Panta berkucung ialah sajian yang digunakan masyarakat Melayu zaman dahulu untuk dipersembahkan kepada tetamu namun hari ini tidak ramai yang tahu apa yang terkandung dalam sajian istimewa itu.

Setiausaha Kerapatan Luak Ulu Muar Datuk Abdul Khalid Ujang berkata, panta berkucung adalah gabungan dua perkataan iaitu panta yang bermaksud dulang bulat manakala kucung bermaksud tutup.

Katanya, kedua-dua perkataan itu digabungkan membawa maksud dulang bulat yang ditutup dengan tudung saji lama diperbuat daripada daun mengkuang.

“Dulang dan tudung saji ini pula akan dibalut dengan menggunakan kain batik, kain pelekat atau kain songket yang dikenali sebagai kucung supaya kelihatan lebih sopan ketika dibawa kepada tetamu,” katanya.


PESERTA membuka hidangan Panta Berkucung.

Menurut Abdul Khalid, di bahagian puncak kucung pula mempunyai ikatan atau simpulan yang terbahagi kepada dua simpulan iaitu kepala patung atau kerbau berlaga.

“Di dalam panta berkucung, sebuah dulang atau lebih dikenali sebagai jambar akan diisi dengan kuih tradisional seperti kuih koci, tapai, lemang dan rendang, dodol, lepat, buah Melaka, apam, lepat pisang, lempeng untuk dipersembahkan kepada tetamu.

“Penyediaan hidangan ini selalunya dilakukan secara gotong-royong dalam kalangan sesebuah masyarakat dan inilah uniknya Adat Perpatih,” katanya ditemui pada Pesta Adat Perpatih Luak Tanah Mengandung Lengkongan 2019 yang diadakan di Laman Gentam di sini.

Dalam majlis perasmian yang disempurnakan Yang di-Pertuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Muhriz Tuanku Munawir dan Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud itu, lima luak membuat perarakan panta berkucung.

Luak terbabit ialah Luak Ulu Muar, Luak Terachi, Luak Jempol, Luak Inas dan Luak Gunung Pasir.

Kebiasaannya panta berkuncung dijunjung di atas kepala oleh wanita daripada pelbagai usia yang memakai pakaian tradisional.

Kemuncak perarakan panta berkucung ini ialah dengan menghadap Tuanku Muhriz dan baginda berkenan membuka satu panta berkucung sebagai simbolik perasmian Pesta Adat Perpatih 2019.

Abdul Khalid berkata, peranan panta berkucung pada zaman dahulu sinonim dengan adat lama yang mengajar masyarakat berkerjasama dan bersatu.


PESERTA membuka hidangan Panta Berkucung.

“Perlu dijelaskan, hidangan dalam panta berkucung tidak semestinya kuih-muih, tetapi boleh diisi dengan hidangan nasi dan lauk-pauk.

“Apabila tetamu selesai menikmati hidangan, piring yang digunakan hendaklah diletakkan semula mengikut panta masing-masing dan tidak digalakkan untuk dipindahkan ke panta lain.

“Cara ini adalah satu disiplin dan keunikan makan di dalam panta berkucung,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 29 January 2019 @ 8:15 AM