LOKASI Sharifah ditemukan lemas di Taman Tasik Bandar, Indera Mahkota. FOTO Ihsan Bomba
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


SELEPAS lebih 14 jam hilang, suri rumah dijumpai lemas di Tasik Taman Bandar, Indera Mahkota, Kuantan oleh orang ramai yang sedang melakukan aktiviti rekreasi di kawasan itu kira-kira 7 pagi, hari ini.

Mangsa Sharifah Abdullah, 25, yang baru sebulan mendirikan rumah tangga dikatakan keluar dari rumahnya di Indera Mahkota, jam 5 petang semalam sebelum dilaporkan tidak pulang.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Mohd Noor Yusof Ali berkata, pihaknya menerima panggilan awam jam 7.23 pagi hari ini, mengatakan terdapat mayat terapung di kawasan Tasik Taman Bandar, sebelum meminta bantuan Balai Bomba dan Penyelamat Indera Mahkota untuk membawa mayat mangsa ke darat.

“Pemeriksaan ke atas badan mangsa tidak menjumpai kesan atau tanda berunsurkan jenayah dan mayat dibawa ke bahagian Forensik Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA) untuk bedah siasat.

“Hasil bedah siasat mendapati punca kematian mangsa disebabkan lemas,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.

Mohd Noor berkata, berdasarkan keterangan suami mangsa, mereka baru mendirikan rumah tangga sebulan lalu dan memaklumkan isterinya mengalami kemurungan disebabkan kemalangan tiga tahun lalu.

“Wanita terbabit dikatakan keluar rumah menunggang motosikal kira-kira 5 petang semalam namun tidak pulang sebelum usaha mencari mangsa dilakukan suaminya dan anggota keluarga lain sejak 10.30 malam tadi,” katanya.

Katanya, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Februari 2019 @ 5:29 PM