Suraya Roslan

[email protected]

NILAI: Seorang lelaki mendakwa memiliki tiga kewarganegaraan dengan mengaku mempunyai MyKad biru, pasport Indonesia namun berasal dari Filipina.

Pengakuan lelaki berusia 28 tahun itu nyata mengundang kekeliruan kepada penguat kuasa Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) dan Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) apabila dia mengatakan mempunyai MyKad biru.

Sebaik penguat kuasa meminta MyKad berkenaan, dia mendakwa kad pengenalan itu dipegang polis ketika ditahan penguat kuasa dan tidak memulangkan kepadanya.

Bagaimanapun, helah lelaki itu tidak berkesan apabila siasatan mendapati pasport Indonesia lelaki itu tamat tempoh pada 2015 manakala MyKad biru tiada dalam milikannya.

Dakwanya, dia memiliki pasport Indonesia ketika berkahwin dengan seorang wanita negara itu sebelum ini, tetapi mengakui berasal dari Filipina dan mempunyai MyKad biru untuk bekerja di negara ini.

“Saya pinjam MyKad kawan bekerja di negara ini, menggunakan kad itu saya berjaya memperoleh kerja di sebuah kilang.


MYKAD palsu dipercayai dibeli daripada ejen di Sabah dengan harga RM300 hingga RM500.

“Sebelum ini, saya pernah ditahan polis dan mereka mengambil MyKad berkenaan,” dakwanya.

Lelaki itu antara 17 warga asing yang ditahan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN) kerana menggunakan MyKad palsu dan milik orang lain dalam satu operasi di kawasan rumah pangsa kos rendah di Nilai Perdana di sini.

Ketua Pengarah JPN Datuk Mohammad Razin Abdullah berkata, 18 individu berusia 16 hingga 49 tahun ditahan dalam operasi selama tiga jam bermula jam 12 tengah malam itu kerana menggunakan MyKad palsu manakala sembilan warga Indonesia ditangkap bawah Akta Imigresen kerana tidak memiliki dokumen diri.

“Pelbagai taktik dikesan termasuk cubaan menyembunyikan MyKad bagi mengelak diambil tindakan namun hasil kecekapan penguat kuasa menemui beberapa MyKad bukan milik mereka.

“Hasil siasatan turut mendapati kebanyakan ditahan warga Filipina yang menggunakan MyKad palsu dipercayai dibeli daripada ejen di Sabah dengan harga sekitar RM300 hingga RM500 bertujuan untuk bekerja di Malaysia,” katanya.

Menurut beliau, pihaknya percaya semua MyKad digunakan palsu dan bukan dikeluarkan JPN berdasarkan ciri keselamatan dan fizikal dan tiada dalam sistem.

“Kami juga membuat satu laporan polis berkenaan tangkapan 17 suspek yang melakukan kesalahan di bawah Peraturan-Peraturan Pendaftaran Negara 1990.

“Mereka kini dalam perintah reman dan dijangka akan dihadapkan ke mahkamah dalam waktu terdekat,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Februari 2019 @ 9:02 AM