Mohd Azam Shah Yaacob
mohdazam@hmetro.com.my


HANYA kerana mahu menagih simpati orang ramai, seorang lelaki pelancong asing sanggup melambung bayi dipercayai anaknya sendiri ketika mengemis di Bukit Bintang, Kuala Lumpur.

Malah, video perbuatan berbahaya pelancong itu berjaya dirakam salah seorang lelaki yang kemudian dikongsi dalam akaun Facebook miliknya, semalam.

Menerusi rakaman video berdurasi selama satu minit 26 saat itu, pelancong warga asing, berkulit putih, dilihat menghayun serta melambung seorang bayi yang dipegang di bahagian kaki beberapa kali.

Turut bersama lelaki itu, seorang lagi lelaki dan dua wanita yang sedang bermain muzik.

Biarpun menerusi rakaman itu bayi berkenaan kelihatan teruja dan gembira, bagaimanapun ia dikhuatiri mendatangkan kecederaan selain salah satu bentuk eksploitasi yang melanggar undang-undang.

Menurut pemilik akaun Facebook bernama Zayl Chia Abdullah, kejadian dirakam ketika dia berada di Bukit Bintang.

Lelaki berkenaan yang memegang bayi bersama seorang lagi lelaki dan dua wanita dikatakan sedang melakukan pertunjukan bagi menagih simpati orang ramai bagi mengutip derma.

“I happen to pass by this area in Bukit Bintang and I saw this irresponsible act that can literally causes injury to that poor baby (Saya kebetulan melalui kawasan Bukit Bintang dan terlihat tindakan tidak bertanggungjawab yang boleh menyebabkan kecederaan terhadap bayi itu).

“Why is the authority allowing such act to be showcase to public. These street performer needs to be arrested! Please do something. (Mengapa pihak berkuasa membenarkan tindakan itu dipertontonkan kepada umum. Penghibur jalanan itu sepatutnya ditahan! Tolong berbuat sesuatu)," katanya menerusi hantaran yang dimuat naik di akaun Facebook miliknya itu.

Sementara itu, menurut satu portal, tindakan kumpulan pelancong asing itu bagi mengutip wang untuk membiayai pelancongan mereka yang masuk ke negara ini sebagai 'backpakers'.

Sementara itu, tinjauan di laman sosial mendapati kebanyakan netizen mengecam tindakan berkenaan dan meminta supaya pihak berkuasa memantau kumpulan pelancong berkenaan yang dilihat mengeksploitasi anak mereka sendiri bagi tujuan meraih simpati.

Kebanyakan mereka mendakwa tindakan itu bukan sahaja berbahaya kepada fizikal bayi berkenaan sebaliknya boleh mendatangkan kecederaan dalaman termasuk kepada perkembangan otak bayi yang dikhuatiri mengalami gangguan.

Menurut mereka, tindakan menghayun itu sesuatu yang tidak boleh diterima dalam masyarakat.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Februari 2019 @ 7:34 PM
FOTO dari video FB Zayl Chia Abdullah