HAEL dan Dayang Nurfaizah ketika mempersembahkan lagu Haram. FOTO Eizairi Shamsudin
Amirul Haswendy Ashari.


Anugerah Juara Lagu 33 (AJL33) menyaksikan lagu Haram ciptaan Hael Husaini dan Ezra Kong yang dipersembahkan Hael dan Dayang Nurfaizah diangkat sebagai Lagu Terbaik.

Sekali gus, mereka membawa pulang hadiah wang tunai RM50,000 dan trofi.

Ini adalah kemenangan kedua Hael selepas pernah menang di AJL32, tahun lalu melalui lagu Jampi.

Naib Juara menjadi milik lagu ciptaan Hang Nadim, Laq dan Kadok berjudul Bunga nyanyian Ara Johari yang membawa pulang hadiah wang tunai RM35,000, manakala lagu Sampai Bila ciptaan Sharon Paul, Fedtri Yahya dan Shah Shamshiri nyanyian Misha Omar merangkul tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM20,000.

Selepas kali terakhir memenanginya pada AJL14 tahun 2004, Vokal Terbaik AJL33 kali ini kembali menjadi milik Misha Omar yang memberi persembahan vokal memukau melalui lagu Sampai Bila.

Persembahan ala 'pelamin anganku musnah' Sufian Suhaimi melalui lagu Di Matamu diumumkan menang Persembahan Terbaik sekali gus membawa pulang wang tunai RM12,000 dan Samsung Galaxy A9 tajaan Samsung.

AJL33 diadili sepenuhnya oleh barisan juri profesional dalam bidang muzik tempatan antaranya Datuk Mokhzani Ismail, Datuk Wah Idris, Manan Ngah, LY Baiduri, Helen Yap, AG Coco, manakala komposer Azmeer selaku ketua juri.

Untuk penjurian Persembahan Terbaik, hanya 50 peratus daripada juri profesional manakala baki daripada undian peminat.

AJL33 disiarkan secara langsung di TV3 dari Axiata Arena Bukit Jalil, jam 9 malam tadi.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 12:23 AM