AHMAD Iman Danish memberi ibunya, Idayu meminum susu di rumah mereka di PPR Salak Selatan.
Suraya Roslan


Kuala Lumpur: Seorang ibu tunggal yang menderita kanser tahap empat hanya mampu berdoa supaya nyawanya tidak diambil dalam masa terdekat lantaran tanggungjawab terhadap tiga anaknya masih belum sempurna.

Apatah lagi anak bongsunya berusia 10 tahun memerlukan penjagaan khusus kerana hiperaktif.

Jika pesakit kanser tahap empat lain sudah terlantar akibat kesan radioterapi dan kemoterapi, namun tidak bagi Idayu Mohamad, 44, yang terpaksa menahan semua kesakitan demi tanggungjawab terhadap anak.

Dia tetap menggagahkan diri bangun setiap jam 5 pagi untuk memasak nasi lemak dan kuih-muih untuk dijual di Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Salak Selatan.

Baginya, apa yang lebih penting tiga anaknya berusia 19, 18, dan 10 tahun cukup makan dan untuk dirinya terpaksa menahan setiap kesakitan dialami.

Malah, dalam setiap doanya kepada Allah SWT, dia berharap nyawanya tidak ditarik lagi berikutan mempunyai tanggungjawab kepada anak terutama si bongsu.

“Saya disahkan menghidap kanser rahim tahap empat yang kini sudah merebak ke payudara dan perut.

“Walaupun doktor menjangkakan hayat hidup saya lima tahun lagi, namun saya berdoa kepada Allah supaya tidak mengambil nyawa saya dalam waktu terdekat kerana tanggungjawab terhadap anak belum sempurna untuk saya tunaikan,” katanya kepada Harian Metro.

Idayu yang berasal dari Johor Bahru berkata, dia reda dengan kehidupan perlu dilalui sebaik disahkan menghidap penyakit itu.

“Saya perlu kuat demi anak, walaupun rawatan radioterapi dan kemoterapi cukup menyeksakan namun saya perlu bertahan demi meneruskan kelangsungan hidup.

“Saya suka memasak, disebabkan itu saya menjadikan masakan sebagai terapi untuk melupakan kesakitan melalui terapi itu saya gunakan untuk menjana pendapatan,” katanya.

Idayu berkata, dia membuka gerai bermula jam 2.30 petang hingga jam 7 malam pada Isnin hingga Sabtu.

“Alhamdulillah dengan jualan itu dapat menampung hidup kami sekeluarga, selain itu saya juga mendapat bantuan Baitulmal Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan sebanyak RM400 sebulan.

“Jika terlalu ikut perasaan dan sakit, apalah nasib anak saya nanti disebabkan itu saya perlu kuatkan diri,” katanya.

Dia yang juga orang kurang upaya pekak berikutan hilang pendengaran sepenuhnya telinga kiri manakala hanya 50 peratus pendengaran telinga kanan memberitahu, hidupnya terasa gelap apabila disahkan menghidap kanser rahim tahap empat pada 13 Februari tahun lalu.


IDAYU membantu anaknya Ahmad Iman Danish mengulang kaji pelajaran.

Katanya, penghujung Januari tahun lalu, dia pitam di ruang tamu sebelum sekali lagi dikejarkan ke hospital dengan ambulans.

“Dalam tempoh itu, memang saya tidak larat dan tidak boleh jamah sebarang makanan. Pada mulanya doktor memberitahu usus saya bengkak.

“Namun selepas dirujuk kepada pakar Jabatan Obstetrik dan Ginekologi dan ujian pap smear dilakukan terhadap saya, baru tahu saya menghidap kanser rahim tahap empat,” katanya yang kini hanya bergantung kepada susu yang disalurkan menerusi hidung sebab tidak boleh menjamah makanan pepejal.

Katanya, dia berharap orang ramai dapat mendoakan kesembuhan untuk dirinya dan kuat menjalani kehidupan harian.

Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh berbuat demikian dengan menyalurkan ke akaun Public Islamic Bank Idayu, 6823561404.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Februari 2019 @ 10:05 AM