Kereta model BMW yang terbabas sebelum terbakar di Kilometer 6.9, Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK). FOTO Nurul Hidayah Bahaudin
Hafidzul Hilmi Mohd Noor dan Nurul Hidayah Bahaudin

TIGA rentung sejurus kereta mewah model BMW dinaiki terbabas sebelum terbakar di Kilometer 6.9, Lebuhraya Penyuraian Trafik Lingkaran Kajang (SILK) jam 5.40 petang tadi.

Jurucakap Bomba dan Penyelamat Selangor berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kemalangan itu pada jam 5.46 petang.

“Satu jentera dengan kekuatan sembilan anggota bomba dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Setiba di lokasi sebuah kereta mewah model BMW didapati remuk dan terbakar. Anggota bomba kemudian segera memadamkan kebakaran itu,” katanya.

Menurutnya, tiga mangsa ditemui tersepit dan rentung dalam kenderaan berkenaan.

“Bomba kini sedang melakukan kerja mengeluarkan semua mayat mangsa,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Februari 2019 @ 9:22 PM