Zuliaty Zulkiffli


“KAMI baru selesai makan tengah hari ketika berkelah sebelum dua cucu serta seorang lagi rakan mereka turun mandi, malah kelihatan sangat seronok.

“Ketika itu paras air tidak dalam dan sangat cetek, namun secara tiba-tiba air datang terlalu deras sebelum menghanyutkan tiga daripada mereka dan suami pula pula terjun untuk menyelamatkan mereka sebelum dia turut hanyut," kata Sharifah Latif, 63.

Sharifah adalah isteri kepada Mohamad Ramli Ibrahim, 65, yang lemas bersama dua cucunya, Nor Shafia Hafiza Samsudin, 16, dan adiknya, Nur Shariza Hafiza, 14, di Rumah Pam, Sungai Pedu, Kampung Tanjung, Padang Terap, 12.30 tengah hari ini.

Seorang lagi rakan mereka yang dikenali sebagai Hanis, 16, ditemui selamat dan dihantar ke Hospital Kuala Nerang (HKN) untuk menerima rawatan.


ANGGOTA bomba dan penduduk kampung mengangkat mayat Mohamad Ramli. (Gambar kecil) Sharifah (kiri) ditenteramkan penduduk selepas suami serta dua cucunya lemas ketika berkelah di Rumah Pam, Sungai Pedu, Kampung Tanjung, Padang Terap. FOTO ZULIATY ZULKIFFLI.

Sharifah berkata, mereka datang ke rumah pam itu yang terletak kira-kira 100 meter dari rumah mereka di Kampung Tanjung, pada 1 tengah hari untuk berkelah menghabiskan cuti sempena Tahun Baharu Cina.

Katanya, dua cucunya yang menetap di Kuala Kedah itu pulang ke kampung hari ini bersama keluarga mereka sebelum mengambil keputusan untuk berkelah bersama 10 ahli keluarga.

"Sebaik ternampak dua cucu dan rakan mereka tenggelam timbul, suami terus terjun ke dalam Sungai Pedu untuk menyelamatkan mereka, tetapi terus tenggelam.

"Kami yang berada di atas tebing hanya mampu menjerit meminta tolong dan tidak mampu berbuat apa-apa melainkan melihat semua mereka terkapai-kapai," katanya ketika ditemui di lokasi kejadian hari ini.

Sharifah berkata, mereka sekeluarga reda dengan pemergian serentak dua cucu dan suaminya walaupun tidak menyangka mereka akan pergi dengan terlalu cepat.

Terdahulu, mayat Nur Shariza Hafiza ditemui pada 2.26 petang sebelum mayat Nor Shafia Hafiza ditemui pada 4.40 petang manakala Mohamad Ramli ditemui 5.35 petang.

Berita berkaitan

'Tragedi berkelah, 1 lemas, 2 hilang'

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Februari 2019 @ 7:10 PM