MOHD YUSOFF MAHADI
Firdaus Hashim


KUALA LUMPUR: Nasib Persatuan Bolasepak Perlis (PFA) sama ada bakal terus beraksi di Liga Perdana atau tidak, akan hanya ditentukan pada 15 Februari ini apabila tamat tempoh 60 hari yang diberikan Liga Bolasepak Malaysia (MFL).

Menerusi perjanjian awal ketika memberi ‘lampu hijau’ membenarkan PFA naik beraksi dari Liga Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) ke saingan Liga Perdana, badan induk itu diberi tempoh selama 60 hari untuk menyelesaikan tunggakan gaji membabitkan pasukan terdahulu iaitu skuad musim 2016, 2017 dan 2018.

Menurut Ahli Lembaga Pengarah MFL, Datuk Yusoff Mahadi, kemelut tunggakan gaji yang menghantui Perlis bagi kempen liga 2019 sememangnya mengejutkan banyak pihak termasuk MFL selaku badan pengurusan liga utama tempatan.

“Mengikut makluman yang saya peroleh, PFA diberi tempoh selama 60 hari untuk menyelesaikan masalah gaji membabitkan pasukan musim lalu dan persetujuan itu diterima oleh mereka.

“Jadi kedudukan mereka dalam liga akan dinilai pada 15 Februari sebelum apa-apa keputusan dibuat sama ada Perlis kekal bermain atau akan ada keputusan lain.

“Ini kerana kita tak mahu pasukan sekarang (pasukan 2019) turut berdepan masalah gaji, walaupun sudah ada rungutan daripada beberapa pemain bahawa mereka tak dibayar untuk dua bulan.

“Lebih baik kita mengambil tindakan awal daripada membiarkan hingga pertengahan musim yang kemudian akan menyusahkan pasukan lain kerana khuatir mereka menarik diri di tengah-tengah saingan liga.

“Bagaimanapun, saya harap isu gaji dapat diselesaikan segera oleh pengurusan Perlis sebelum 15 Februari ini,” katanya ketika dihubungi Arena Metro, semalam.

Perlis yang menamatkan saingan divisyen tiga di tangga tercorot musim lalu diberi laluan khas beraksi dalam divisyen dua pada musim ini dengan MFL meletakkan beberapa syarat ketat termasuk wajib melangsaikan tunggakan gaji pemain skuad terdahulu.

Begitupun, ketika kempen Liga Perdana baru saja bermula minggu lalu, beberapa pemain tampil mendedahkan mereka masih tidak menerima bayaran gaji pertama pada 7 Januari lalu dengan PFA berjanji akan menyelesaikannya sebelum semalam.

Malah, pemain juga mengugut akan meninggalkan pasukan sekiranya tidak menerima dua bulan gaji seperti mana yang dijanjikan Presiden PFA, Datuk Ahmad Amizal Shaifit Ahmad Rafie.

“Mengenai isu pemain akan keluar bagi saya itu adalah hak pemain. Dalam kontrak mereka dinyatakan jika tidak menerima gaji selama dua bulan mereka boleh mencari pasukan lain. Itu terpulang kepada pemain, cuma saya harap pemain dapat bersabar dan harap PFA selesaikan segera masalah ini,” katanya yang juga Timbalan Presiden FAM.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 8 Februari 2019 @ 10:57 AM