PIKAP Mitsubishi Storm terjunam ke dalam Sungai Terengganu di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, malam tadi menyebabkan lima sekeluarga selamat manakala seorang lelaki yang cuba menyelamatkan mereka gagal dikesan. FOTO ihsan pembaca.
BERNAMA

SEORANG lelaki dikhuatiri lemas ketika cuba menyelamatkan lima penumpang sebuah kenderaan pacuan empat roda yang terjunam ke dalam Sungai Terengganu di Pulau Warisan, Kuala Terengganu, 9.30 malam tadi.

Difahamkan, mangsa, Abdul Bari Arshad, 31, dari Kampung Panji, Kuala Terengganu sedang memancing bersama seorang rakannya sebelum Mitsubishi Storm diparkir di kawasan berhampiran tiba-tiba menggelungsur dan terjunam ke dalam sungai.

Difahamkan, selain Bari, dua lagi lelaki turut terbabit menyelamatkan penumpang kenderaan itu, namun hanya kedua-dua lelaki itu selamat naik ke darat.

Lima penumpang dalam kenderaan itu turut selamat.

Menurut ibu mangsa, Masitah Awang, 60, anak lelakinya itu keluar dari rumah selepas Asar untuk memancing bersama rakan baiknya.

“Bari memang suka memancing. Jika ada masa terluang dia akan keluar bersama memancing dengan kawannya di merata-rata tempat yang menjadi lubuk pancing.

“Pagi tadi, awal-awal lagi dia sudah keluar memancing dan balik ke rumah untuk solat dan makan tengah hari sebelum keluar semula selepas Asar,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian.

Menurut Masitah, beliau hanya mengetahui tentang kejadian malang itu selepas dimaklumkan suaminya, Mohd Mustafa, 66 yang menerima panggilan daripada polis pada 10 malam.

Pasukan Penyelamat Di Air Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Terengganu masih melakukan operasi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar lokasi kejadian.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 12:56 AM