KENDERAAN Proton Wira yang terbabit dalam kemalangan sehingga mengorbankan lima sekeluarga di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit. FOTO Ihsan Bomba
Zatul Iffah Zolkiply


LIMA sekeluarga termasuk bayi perempuan berusia sembilan bulan maut selepas kereta dinaiki terbabas dalam kemalangan di Kampung Pengkalan Atap, Batu Rakit, Kuala Nerus, hari ini.

Dalam kemalangan 2.50 pagi itu, Mohd Kharulinzam Jusoh, 38, isteri, Nur Syaazlien Syarizam Salleh, 21, dan anak mereka, Nur Khaira Aisyah berusia sembilan bulan meninggal dunia.

Dua lagi yang maut, adik dan ibu kepada Nur Syaazlien, Muhammad Nashrullah, 5, dan Rozilawati [email protected], 43.

Sementara itu, seorang lagi anak pasangan suami isteri, Muhammad Khairul Haziq, 5, parah dan masih dirawat di Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ) Kuala Terengganu.

Difahamkan, ketika kejadian, semua mangsa dalam perjalanan balik ke rumah di Kampung Durian Mas, Manir selepas menghadiri kenduri perkahwinan di Kota Bharu, Kelantan.

Bagaimanapun, kereta Proton Wira dinaiki enam mangsa dikatakan hilang kawalan dan terbabas sebelum merempuh pokok.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Pegawai Bomba Tinggi Yusmizan Yusof berkata, pihaknya menerima panggilan mengenai kejadian pada 3.01 pagi sebelum dua jentera dari BBP Kuala Nerus dan Kuala Terengganu bersama 12 anggota dikejarkan ke lokasi kejadian.

“Sebaik tiba di lokasi, seorang daripada mangsa sudah berada di luar kenderaan, manakala lima lagi masih tersepit.

“Kita mengambil masa kira 15 minit untuk mengeluarkan semua mangsa.

“Ketika itu, dua mangsa yang parah dikejarkan ke hospital, manakala empat lagi diserahkan kepada polis untuk tindakan lanjut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Bagaimanapun, Rozilawati disahkan meninggal dunia ketika menerima rawatan di HSNZ.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 10:09 AM