OPERASI mencari Abdul Bari diteruskan. (Gambar kecil) Ibu bapa Abdul Bari, iaitu Mohd Mustapa dan Masitah Awang. FOTO Ghazali Kori
Hanneeyzah Bariah Baharin dan Zatul Iffah Zolkiply


BAGAI mati hidup semula. Itu perasaan digambarkan mangsa yang nyaris lemas selepas kenderaan pacuan empat roda Mitsubishi Storm dinaiki lima sekeluarga terjunam ke muara Sungai Terengganu, dekat Pulau Warisan di Kuala Terengganu, malam tadi.

Nurdiana Alwani Jaafar, 33 berkata, dia sudah membayangkan mati ketika kenderaan itu terjunam dan tenggelam, namun masih berusaha untuk menyelamatkan anaknya, Iman Nur Hana Lutfia Mohamad Amiruddin, 3, yang duduk di ribanya di tempat duduk penumpang hadapan, daripada lemas.

Menganggap kejadian itu satu keajaiban buatnya dan keluarga apabila terselamat, ibu tunggal itu berkata, kejadian berlaku terlalu pantas dan dalam masa singkat kenderaan itu sudah tenggelam ke dasar dengan keadaan terlalu gelap.

“Selepas kereta terjunam ke dalam sungai, saya dan ibu tiri, Suryati Rusly, 37, segera membuka tingkap di bahagian kiri dan kanan tempat duduk hadapan, pada masa sama nampak ada orang terjun untuk membantu menyelamatkan kami.

“Kereta sudah hampir tenggelam, datang seorang lelaki di tepi tingkap lalu saya segera menghulurkan Iman Nur Hana untuk diselamatkan.

“Ketika itu, saya hanya fikir mahu menyelamatkan anak dan menganggap ini pengakhiran hidup kami,” katanya ketika ditemui di wad Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), hari ini.

Ketika ini, empat daripada lima mangsa iaitu Suryati; Nurdiana; Asmaa Rusly, 23, dan Iman Nur Hana Luthfia, masih dirawat di HSNZ dan dilaporkan stabil, manakala Syafawani Syazwani Jaafar, 11, sudah dibenarkan pulang.

Nurdiana Alwani berkata, beliau sudah berputus asa untuk menyelamatkan diri, namun apabila melihat kesungguhan ibu tirinya menyebabkan mereka saling memberi semangat antara satu sama lain.

“Di bawah itu (dasar sungai) tak nampak apa dah. Kita pun tak fikir banyak kecuali mati. Tetapi saya nampak ibu tiri berusaha membuka tingkap untuk keluar lalu saya pun cuba melakukan hal sama.

“Malangnya tingkap tersekat dan tidak boleh diturunkan lagi. Dalam masa sama tekanan air juga kuat menyebabkan usaha membuka pintu kenderaan tidak berjaya.

“Namun, kami tidak putus asa dan masih cuba menurunkan tingkap... Alhamdulillah kami semua akhirnya berjaya keluar daripada kenderaan.

“Rasa nak habis nafas dah sebelum kami dibantu orang awam yang berada di lokasi kejadian,” katanya yang bekerja di sebuah bank.

Sementara itu Suryati berkata, ketika menurunkan brek tangan untuk menggerakkan kenderaan, beliau menyangka sudah menukar kepada kedudukan gear D, namun rupanya kereta masih berada dalam kedudukan gear mengundur.

“Disebabkan itulah kereta meluncur laju ke dalam sungai. Hanya Allah tahu perasaan ketika itu apatah lagi ketika sudah berada di dasar sungai dalam keadaan gelap gelita, terpaksa menahan nafas dan perlu berusaha untuk menyelamatkan diri.

“Saya sangat bersyukur dan berterima kasih kepada orang awam yang membantu menyelamatkan kami.

“Sudah tentu kami sedih mengetahui seorang daripadanya masih hilang dan kami berdoa semoga dia segera ditemui.

“Saya memang mahu berjumpa dengan ahli keluarga mangsa tetapi kami masih dirawat di hospital. Insya Allah, jika diizinkan, memang saya mahu berjumpa dengan ahli keluarga mangsa,” katanya sayu.

Dalam kejadian kira-kira jam 9.40 malam tadi, lima sekeluarga nyaris lemas selepas pacuan empat roda Mitsubishi Storm dinaiki meluncur sebelum terjunam ke muara sungai.

Berita berkaitan

'`YANG aku takut jika ajal yang tibe dulu...... ''

''Saya reda dan bangga' - Bapa Abdul Bari'

'Dia tenggelam timbul pegang budak'

PPDA cari Abdul Bari pagi ini

Nekad terjun sungai selamatkan mangsa [METROTV]

'Hilang ketika selamatkan pikap terjunam ke sungai'

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 9 Februari 2019 @ 6:49 PM