MUHAMMAD Adib.
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


INKUES bagi menentukan punca kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner di Shah Alam, bermula pagi esok.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad itu akan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya yang juga pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah bersama-sama Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim.

Difahamkan, enam doktor dan pakar forensik, termasuk yang merawat Muhammad Adib di Institut Jantung Negara (IJN) dijangka dipanggil untuk memberikan keterangan.

Mereka antara 30 saksi dalam inkues itu yang dijangka berlangsung selama 52 hari.

Saksi lain yang akan dipanggil ialah anggota bomba, polis, pasukan perubatan dan orang awam yang berada di tempat kejadian.

Pada prosiding lalu, Rofiah membenarkan pihak berkepentingan iaitu peguam bagi ahli keluarga, dan peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) mengemukakan soalan.

Selain itu, peguam Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (SUHAKAM), Mansoor Saat manakala Majlis Peguam yang diwakili Roger Chan Weng Keng dan Cyrus Tiu Foo Woei.

Dalam pada itu, Rofiah mengingatkan semua pihak terutama berkepentingan yang terbabit dalam prosiding itu perlu menghormati mahkamah.

"Elakkan keluarkan kenyataan seperti yakin (Muhammad) Adib mati dalam keadaan tertentu," katanya.

Rofiah berkata, tindakan itu seolah-olah pihak terbabit mendahului mahkamah sedangkan prosiding inkues belum bermula.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Kronologi kes kematian Muhammad Adib

27 November 2018 - Muhammad Adib dipercayai diserang dan dipukul sehingga parah susulan rusuhan di tapak kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Seafield, Subang Jaya, jam 3 pagi. Muhammad Adib dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi Pusat Perubatan Ramsay Sime Darby, Subang Jaya.

28 November 2018 - Muhammad Adib dipindahkan ke IJN pada jam 1 pagi disebabkan kecederaan bahagian dalaman yang dialami.

28 November 2018 - Badan Bertindak Kuil Sri Maha Mariamman dakwa Muhammad Adib parah akibat kemalangan. JBPM tubuh jawatankuasa khas bagi siasat kejadian.

29 November 2018 - Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohamad Fuzi Harun menegaskan dakwaan pihak kuil tidak betul.

4 Disember 2018 - Muhammad Adib beri tindak balas kepada orang sekeliling, tetapi masih tidak dapat bertutur selepas seminggu dirawat di IJN

5 Disember 2018 - Muhammad Adib menggunakan mesin Extracorporeal Membrane Oxygenation (ECMO) untuk membantu fungsi paru-paru.

7 Disember 2018 - Muhammad Adib tunjuk perkembangan positif walaupun masih kritikal dan stabil selain tidak bergantung kepada mesin sokongan jantung.

10 Disember 2018 - Muhammad Adib memberikan tindak balas positif dengan menulis pada papan putih untuk berkomunikasi.

15 Disember 2018 - Muhammad Adib terpaksa menggunakan semula mesin ECMO pada jam 9 malam selepas penilaian mendapati paru-parunya mula mengeras.

16 Disember 2018 - Keadaan kesihatan Muhammad Adib kembali merosot dan kritikal. IJN memaklumkan selepas penilaian menyeluruh, paru-parunya menunjukkan tanda konsolidasi dan pengerasan tisu, menjadikan pertukaran gas tidak berkesan.

17 Disember 2018 - Muhammad Adib disahkan meninggal dunia pada jam 9.41 malam.

18 Disember 2018 - Jenazah Muhammad Adib selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam, Kampung Tebengau, Kuala Kedah kira-kira jam 1.45 tengah hari.

27 Disember 2018 - Kerajaan mengumumkan akan menubuhkan inkues untuk mengetahui punca sebenar kematian Muhammad Adib dan mereka yang terbabit.

10 Januari 2019 - Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Noor Rashid Ibrahim memberitahu polis sudah melengkapkan sepenuhnya siasatan kes kematian Muhammad Adib. Kertas siasatan itu dirujuk kepada pejabat Timbalan Pendakwa Raya untuk tindakan selanjutnya.

18 Januari 2019- Mahkamah Koroner Shah Alam menetapkan 52 hari untuk prosiding inkues untuk menentukan punca kematian Muhammad Adib dan 30 saksi termasuk enam doktor akan memberi keterangan.

11 Februari 2019- Inkues Muhammad Adib bermula.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Februari 2019 @ 10:00 PM