Hazira Ahmad Zaidi


KOTA BHARU: Sebanyak 2,441 premis makanan diserbu Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) negeri berhubung penandaan harga dan harga mengelirukan sejak Januari lalu.

Pengarahnya, Khalid Tik berkata, daripada jumlah itu, 55 kes membabitkan kesalahan tiada tanda harga dipamerkan, gagal guna tanda harga merah jambu dan gambaran mengelirukan harga.

Katanya, KPDNHEP menjalankan operasi secara berkala dan berterusan bagi membanteras kekeliruan dilakukan penjual selain aduan pelanggan yang dikenakan harga tidak munasabah.

“Hasil siasatan mendapati, ada premis perniagaan masih mempamerkan tanda harga lama, tetapi bayaran dikenakan jauh lebih mahal menyebabkan ada pelanggan tidak berpuas hati.


KHALID (kiri) menunjukkan papan tanda harga yang diturunkan anggotanya kerana mengelirukan pelanggan.

“Ada juga antara peniaga memberi alasan harga bekalan daripada pemborong agak mahal menyebabkan mereka terpaksa menaikkan harga makanan dijual.

“Peniaga tidak seharusnya menaikkan harga secara mendadak dan perlu memaklumkan kepada pelanggan terlebih dahulu untuk mengelakkan kekeliruan,” katanya dalam sidang media selepas Operasi Serbuan di Medan Selera Stadium Sultan Muhammad IV, semalam.

Menurutnya, operasi itu membabitkan 25 pegawai KPDNHEP melakukan serbuan terhadap 12 premis makanan sekitar ibu negeri ini.

“Hasil operasi ini, empat daripadanya dikenakan kompaun mengikut Seksyen 12 Akta Perlindungan Pengguna 1999 dan Perintah 3 (1) Perintah Kawalan Harga (PHORP) 1993.

“Kami memohon kerjasama orang ramai untuk melaporkan kepada KPDNHEP jika ada premis mengenakan caj tidak masuk akal atau melakukan kekeliruan ketika mempamerkan tanda harga,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 7:50 AM