PENGGUNA yang keluar masuk di sempadan Malaysia-Thailand dan kawasan sekitar Bukit Kayu Hitam diperiksa.
Hafidzul Hilmi Mohd Noor


KUALA LUMPUR: Berhibur sambil melepaskan gian dadah di Hatyai dan Danok, Thailand sebelum pulang ke Malaysia.

Itu tindakan sekumpulan rakyat negara ini yang ditahan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dalam operasi di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam, Kedah, jam 9 malam Sabtu lalu.

Selain berhibur dan melepaskan gian, ada antaranya dikesan mendapatkan bekalan dadah di negara jiran itu.

Ketua Penolong Pengarah Bahagian Penguatkuasaan dan Keselamatan AADK Zolkifli Mohd Dom berkata, dalam pemeriksaan itu, 27 individu berusia 20 hingga 35 tahun ditahan kerana positif dadah jenis syabu dan heroin.

“Operasi ini memfokuskan pengguna jalan raya yang keluar masuk di sempadan Malaysia-Thailand dan kawasan sekitar Bukit Kayu Hitam. Kebanyakan mereka mengaku mengambil dadah ketika berada di Thailand dan ketika berhibur di sana,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.


ANGGOTA AADK menunjukkan barang dirampas daripada 27 individu yang ditahan.

Beliau berkata, selain individu terbabit pihaknya menahan tiga lelaki berusia lingkungan 30 tahun dan merampas 64.8 gram dadah jenis syabu di sebuah rumah di Changlun, Kedah.

“Kumpulan ini dipercayai mendapatkan bekalan dari negara jiran sebelum mengedarkannya untuk pasaran tempatan.

“Semua individu yang ditahan dibawa ke Pejabat AADK Bukit Kayu Hitam untuk pemeriksaan lanjut dan proses dokumentasi,” katanya.

Menurutnya, kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952 dan 3(1) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Februari 2019 @ 7:58 AM