DERETAN penjahit lelaki melayani pelanggan di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu.
Norasikin Daineh


KOTA KINABALU: Kerjaya sebagai tukang jahit lazimnya didominasi wanita yang bermula dari rumah atau kedai jahit.

Bagaimanapun, lain pula di Pasar Kraftangan Kota Kinabalu apabila lebih 10 gerai mengambil upah menjahit dan mengubah suai pakaian dilakukan lelaki.

Lebih menarik, upah yang dikenakan kepada pelanggan untuk menjahit atau mengubah suai pakaian sangat murah berbanding di kedai jahit di luar iaitu serendah RM1 hingga RM15.

Menurut Faizal Janaral, 53, dia memulakan kerjayanya sebagai tukang jahit di pasar itu sejak lebih 20 tahun lalu selepas belajar menjahit daripada ibunya.

“Di pasar ini, saya mengambil upah menjahit dan mengubah suai pakaian lelaki serta wanita dan kebanyakannya tukang jahit lelaki yang ada di sini masing-masing mempunyai kemahiran dalam mengubah suai pakaian mengikut kehendak pelanggan.


FAIZAL mengambil ukuran badan pelanggan untuk baju yang mahu diubah suai.

“Tiada tukang jahit wanita di sini dan sejak dahulu secara tradisinya adalah tukang jahit lelaki. Mungkin sebab ia terletak di tepi jalan dan di hadapan pasar yang tidak sesuai untuk wanita kerana berhabuk dan tidak selamat bagi tukang jahit wanita,” katanya

Mengenai rutin hariannya, Faizal berkata, dia beroperasi di gerai itu setiap hari bermula jam 8 pagi sehingga 5 petang dengan berbekalkan sebuah mesin jahit lama bersama peralatan lain termasuk benang, gunting dan pembaris.

“Sejak mula menjalankan perniagaan ini, saya hanya menggunakan sebuah mesin jahit lama iaitu buatan British yang diwarisi daripada nenek pada era 70-an dan sehingga kini masih digunakan sebagai punca rezeki saya.

“Saya selesa menggunakan mesin ini berbanding mesin baru yang moden dan menganggap pergerakan kaki seiring dengan tangan ketika menjahit adalah senaman setiap hari,” katanya.

Menurut Faizal, walaupun pendapatan sebagai tukang jahit tidak menentu namun ia cukup menampung isteri dan dua anaknya yang kini sudah dewasa.

“Pendapatan seharian tidak menentu, paling banyak saya terima upah iaitu RM70 sehari dan sekiranya hujan, kuranglah pelanggan. Tetapi, dengan mesin jahit dan mengambil upah menjahitlah saya menampung keluarga dan kini salah seorang anak saya sudah bekerja manakala seorang lagi masih belajar,” katanya.


FAIZAL mengubah suai seluar jean pelanggan.

Bagi seorang pelanggan tetap, Sukardi Suratnam, 53, dia mendapatkan perkhidmatan menjahit daripada Faizal sejak lebih 10 tahun lalu.

“Kami sudah kenal lama dan saya menjadi pelanggan tetapnya sejak tahun 90-an. Ada juga beberapa tukang jahit lelaki lain di sini, tetapi saya lebih suka hasil kerja beliau.

“Antaranya disebabkan kerjanya yang pantas dan murah berbanding di kedai jahit lain yang jauh lebih mahal walaupun hanya setakat ubah suai seluar jeans. Malah, saya hanya perlu menunggu 10 minit saja sebelum seluar atau pakaian yang dihantar siap diubahsuai atau dijahit.

“Hasilnya, dari segi kualiti jahitan memang halus sama seperti pakaian baru kita beli menyebabkan saya sering memilih untuk menghantar pakaian di sini,” katanya ketika menghantar seluarnya untuk diubah suai di gerai Faizal.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 7:41 AM