AHMAD Shahril hadir bagi inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim di Mahkamah Koroner Shah Alam, hari ini. FOTO Roslin Mat Tahir.
Syah Rul Aswari Abdullah; Sarah Zulkifli dan Suraya Roslan

SEORANG saksi memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, hari ini bahawa dia hanya menyedari Muhammad Adib Mohd Kassim sudah tidak berada di dalam van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) selepas bahagian depan kenderaan itu senget dan berpusing ke kanan akibat dilanggar jentera Fire Rescue Team (FRT) di depannya.

Pemandu van EMRS, Ahmad Shahril Othman, 36, berkata, kejadian itu berlaku terlalu pantas kira-kira 50 saat dan menyebabkan bahagian kiri depan van berkenaan merapati dan bergesel bahagian kanan belakang jentera FRT.

Saksi ketiga inkues itu berkata, ketika itu, dia tidak fokus ke arah bahagian kiri iaitu Muhammad Adib berada, memandangkan sebelah tangannya memegang stereng dan sebelah lagi memegang pintu cuba dibuka orang awam.

Dia berkata demikian ketika menjawab pegawai pengendali inkues, Hamdan Hamzah pada hari kedua inkues kematian Muhammad Adib.

HAMDAN: Berapa lama jentera FRT tolak van sampai senget?

SHAHRIL: Jarak masa tak ingat. Masa terlalu pantas, tak sampai satu minit... kira-kira 50 saat.

HAMDAN: Kamu kata masa itu fokus kepada belah kanan. Apa yang berlaku sebelah kiri?

SHAHRIL: Tak perasan. Tapi bunyi ketukan dan riuh-rendah tak berhenti.

HAMDAN: Pada masa itu, apa yang kamu lihat tempat arwah sepanjang ditolak?

SHAHRIL: Masa itu, tak perasan apa-apa dah, 'start' mereka serbu. Saya tak perasan apa yang berlaku. Hanya ketukan selepas bunyi bising hingga jentera saya berpusing.

HAMDAN: Apa jadi selepas jentera itu berpusing?

SHAHRIL: Dalam keadaan jentera berpusing saya tengok arwah tiada di sebelah, saya hanya nampak 'body' jentera (FRT) dalam keadaan berpusing. Arwah tak ada di dalam (van).

Terdahulu saksi sama berkata, ada sekumpulan 50 orang meluru dari arah depan van EMRS dan mengetuk dan mengoyang-goyangkan kenderaan dipandunya itu.

Selain itu, dia berkata, ada sekurang-kurangnya tiga orang awam berada di bahagian depan van berkenaan.

Ketika kejadian, dia menaiki van berkenaan bersama Muhammad Adib, manakala jentera FRT di depannya dinaiki tujuh anggota bomba lain.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota EMRS BBP Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Institut Jantung Negara (IJN).

Pada prosiding itu, Hamdan dibantu Pegawai-pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin dan Zhafran Rahim.

Turut serta, pihak berkepentingan termasuk barisan peguam keluarga Muhammad Adib, peguam Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) serta Majlis Peguam.

Prosiding berlangsung di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Februari 2019 @ 5:02 PM