MAHFUZAH (kiri) ketika melakukan pemeriksaan ke atas seorang pesakit di Pusat Dialisis Al-Ehsan, Shah Alam.
Mahaizura Abd Malik

SHAH ALAM: Sanggup meninggalkan karier sebagai peguam demi menubuhkan sebuah pusat dialisis yang mengutamakan kebajikan pesakit berbanding keuntungan.

Itu pengorbanan Mahfuzah Hanisah Mohd Ariff, 33, bagi memudahkan rawatan pesakit buah pinggang kurang bernasib baik.

Ibu kepada empat anak ini berkata, usaha murninya itu didorong selepas menyedari kekangan kewangan antara masalah utama pesakit menjalani rawatan yang disyorkan pakar perubatan.

“Kadar kenaikan tahunan pesakit buah pinggang antara 10 hingga 15 peratus. Banyak hospital tidak mampu lagi menampung jumlah pesakit yang ramai saban tahun.

“Sebagai alternatif, pesakit terpaksa mendapatkan rawatan dialisis di hospital swasta mahupun pusat dialisis dengan kadar caj mahal dan proses kemasukan yang rumit.

“Keadaan ini menyebabkan pesakit yang tidak berkemampuan mengabaikan rawatan, seterusnya memudaratkan kesihatan mereka hingga ada yang maut,” katanya ketika ditemui di Pusat Dialisis Al-Ehsan (PULEH) di Seksyen 7, di sini, semalam.

Menurutnya, latar belakang keluarga yang kebanyakannya bekerja dalam bidang perubatan menguatkan lagi semangatnya untuk berbakti kepada pesakit memerlukan menerusi penubuhan pusat itu.

“Ayah, adik dan suami saya sendiri bertugas sebagai doktor yang menguatkan lagi keinginan saya untuk berbakti kepada pesakit dengan cara berbeza.

“Jadi, saya ilhamkan pusat dialisis ini bersama ayah dengan mengutamakan kebajikan pesakit iaitu mereka boleh menjalani rawatan terlebih dahulu walaupun belum ada sumber kewangan dan pembiayaan.

“Kami percaya, sokongan ini penting meningkatkan tahap kesihatan pesakit sekiranya mereka membuat rawatan dalam keadaan positif dan tanpa tekanan,” katanya.

Katanya, sepanjang tempoh rawatan, pihaknya membantu pesakit memohon pembiayaan mengikut kelayakan masing-masing seperti Pusat Zakat, Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO), Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) serta badan penyedia bantuan kewangan lain.

“Sejak beroperasi November lalu, kita menerima 18 pesakit terdiri daripada pesara, asnaf, orang kurang upaya (OKU) dan ibu tunggal serta permohonan pembiayaan kos rawatan mereka masih dalam proses.

“Ada juga pesakit terpaksa menanggung kos pengangkutan antara RM700 hingga RM800 sebulan untuk ke pusat dialisis dari kediaman masing-masing.

“Jadi, perkara ini juga antara diberi perhatian pihak kami apabila turut menyediakan pengangkutan pada caj sangat minimum dan mengikut kemampuan pesakit,” katanya.

Mahfuzah Hanisah berkata, pihaknya turut melancarkan Tabung Bantuan Hayat untuk membantu pesakit buah pinggang kurang berkemampuan yang mendapatkan rawatan di pusat itu.

“Kami masih lagi mencari individu mahupun syarikat yang ingin menyumbang kepada kebajikan pesakit. Dana ini akan digunakan untuk menampung kos rawatan tambahan yang tidak disediakan badan penyedia bantuan kewangan pesakit.

“Contohnya selepas tiga bulan menjalani rawatan dialisis darah, sesetengah pesakit perlu mengambil suntikan tambahan darah (EPO) berdasarkan nasihat Nefrologi.

“Jadi kos yang rawatan tambahan ini akan ditampung menggunakan dana dalam tabung khas ini,” katanya memberitahu pusat itu berdaftar dengan Kementerian Kesihatan Malaysia dan Yayasan Buah Pinggang Malaysia (NKF).

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 13 Februari 2019 @ 7:52 AM