SAKSI keempat, Amirrul Adli M Yussli. FOTO Sairien Nafis
Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah dan Suraya Roslan

Shah Alam: Seorang saksi awam memberitahu Mahkamah Koroner di sini, dia ternampak seorang anggota bomba duduk dalam keadaan berlunjur sambil menahan kesakitan dalam insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman di USJ 25, Subang Jaya, pada 27 November tahun lalu.

Amirrul Adli M Yussli, 26, yang juga pelatih kru kabin AirAsia berkata, anggota berkenaan berbaju- T dan berseluar celoreng dan dilihat memeluk badannya.

Saksi keempat inkues itu berkata, ia berlaku selepas melihat sebuah jentera Fire Rescue Team (FRT) mengundur dan melanggar bahagian depan van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS).

Katanya, ada beberapa lelaki berbangsa India mengusung anggota bomba terbabit ke arah keretanya yang turut dilanggar jentera FRT itu ketika ia mengundur.

Amirrul Adli berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Faten Hadni Khairuddin pada hari ketiga inkues kematian anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim.

FATEN: Apa kamu nampak?

AMIRRUL: Saya nampak orang berjalan. Saya nampak seorang anggota bomba di bahu kiri jalan sudah terduduk.

FATEN: Terduduk macam mana?

AMIRRUL: Kaki melunjur dan memeluk badan.

FATEN: Tangan dia macam mana?

AMIRRUL: Peluk badan dalam keadaan sakit.

Saksi sama berkata, ketika itu dia hanya fokus kepada keadaan keretanya yang rosak akibat dilanggar jentera FRT.

FATEN: Jadi, semasa mereka datang dan mengangkat anggota bomba itu?

AMIRRUL: Saya dengar mereka kata dia dah nak pengsan.

FATEN: Bomba itu, ada kamu nampak keadaannya?

AMIRRUL: Saya tengok macam dia dah nak pengsan.

Amirrul Adli seterusnya berkata, sekumpulan lelaki itu bertanya sama ada dia boleh menghantar anggota bomba itu ke hospital.

“Saya cakap tak boleh sebab tak boleh buka pintu (bahagian pemandu) sebab kemek,” katanya.

Saksi itu turut berkata, dia ada bertanyakan kepada orang awam apa yang berlaku kepada anggota itu dan ada orang tidak dikenali memberitahu, ‘dia kena bantai lah, apa lagi’.

Terdahulu, Amirrul Adli memberitahu mahkamah dia menaiki kereta dipandu rakannya dan berhenti akibat rusuhan berhampiran kuil.

Katanya, pada masa itu, mereka dalam perjalanan ke rumah seorang lagi rakan di Putra Heights selepas makan di sebuah restoran di USJ.

Katanya, selepas keluar dari kenderaan, dia melihat ratusan orang berada berhampiran kuil dengan ada antara mereka minum minuman keras dan ada pula yang menyaksikan kereta yang terbakar.

Saksi itu seterusnya berkata, dia melihat jentera FRT dan van EMRS tiba di lokasi kejadian sebelum diserang 50 orang awam di seberang jalan berhampiran kuil berkenaan.

“Ada seorang anggota bomba turun memadamkan api, tetapi orang ramai jerit, jangan padam, jangan padam.

“Selepas itu, mereka datang ke jentera FRT dan baling botol...yang saya nampak dan seorang memegang batang panjang dipercayai besi lalu mengetuk cermin depan jentera sampai pecah,” katanya.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 14 Februari 2019 @ 7:02 AM