JENTERA FRT yang rosak ketika insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu. FOTO Mohamad Shahril Badri Saali
Murni Wan Omar dan Syah Rul Aswari Abdullah
am@hmetro.com.my


SAKSI kelapan inkues kematian Muhammad Adib Mohd Kassim memberitahu Mahkamah Koroner di Shah Alam, dia melihat anggota bomba terbabit terduduk dalam keadaan bersandar dan tidak lagi bergerak pada insiden rusuhan berhampiran Kuil Sri Maha Mariamman, di USJ 25, Subang Jaya, 27 November tahun lalu.

S Suresh, 33, yang juga seorang kontraktor berkata, pada masa itu, dia melihat mangsa itu dengan keadaan kaki melunjur dekat sebuah kenderaan berhampiran lokasi kejadian.

Katanya, orang awam sebelum itu banyak kali menjerit 'jangan pukul' dan berkumpul berdekatan sebuah kereta.

Lelaki itu berkata demikian ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali, Zhafran Rahim Hamzah pada hari kelima prosiding inkues berkenaan.

ZHAFRAN: Apa yang kamu nampak?

SURESH: Ramai orang berlari ke arah kuil.

ZHAFRAN: Semasa sambung berjalan. Apa kamu nampak?

SURESH: Ada nampak orang berkumpul di tepi jalan sebelah kereta.

ZHAFRAN: Ramai orang berkumpul di sebelah kereta?

SURESH: Tak.

ZHAFRAN: Berapa ramai?

SURESH: Lebih kurang, 20 atau 30 orang.

ZHAFRAN: Kamu nampak orang berkumpul di tepi jalan?

SURESH: Mula-mula, saya dengar jangan pukul... jangan pukul dalam bahasa India.

ZHAFRAN: Satu kali atau banyak kali?

SURESH: Banyak kali.

ZHAFRAN: (Suara) satu orang atau banyak orang?

SURESH: Banyak suara (orang).

ZHAFRAN: Cara cakap, macam mana?

SURESH: Jerit.

ZHAFRAN: Lepas itu, apa kamu buat?

SURESH: Saya pun pergi tengok apa yang berlaku. Pergi dekat kereta.

ZHAFRAN: Kamu nampak orang itu?

SURESH: Saya nampak, tapi masa itu gelap.

ZHAFRAN: Masa itu, macam mana keadaan dia?

SURESH: Bersandar dekat ‘bumper’ kereta.

ZHAFRAN: Jarak dia dan kamu?

SURESH: Dekat. Sangat dekat. Dalam satu kaki.

ZHAFRAN: Kaki dia macam mana?

SURESH: Straight (lurus).

Saksi sama berkata, ketika itu, orang di sekeliling mangsa bertolak-tolak tetapi tidak melihat mana-mana orang memukul mangsa.

ZHAFRAN: Keadaan orang yang bersandar itu. Dia sedar atau tak?

SURESH: Tak.

ZHAFRAN: Macam mana kamu tahu dia tak sedar?

SURESH: Ada orang tolak, saya jatuh dekat (anggota bomba) yang bersandar. Ada orang sepak bahu kanan saya.

ZHAFRAN: Macam mana kamu tahu dia anggota bomba?

SURESH: Saya nampak seluar dan pakaian dia.

ZHAFRAN: Kamu jatuh atas bahagian mana?

SURESH: Atas kaki dia.

ZHAFRAN: Adakah kamu nampak muka dia?

SURESH: Tak. Tapi macam anggota awam sebab beruniform.

ZHAFRAN: Kenapa kamu kata dia tak sedar?

SURESH: Dia duduk dan tak ada ‘movement’ (pergerakan).

Terdahulu, saksi sama memberitahu mahkamah dia dan enam rakan ke kuil selepas mengetahui isu berhubung kuil berkenaan di Facebook.

Katanya, dia juga melihat kira-kira 50 orang berlari ke arah jentera bomba sebelum seorang lelaki bersenjatakan objek panjang memecahkan cermin depan kenderaan berkenaan.

Selain itu katanya, dia mendengar orang awam menjerit ‘jangan kasi masuk’ selepas melihat sebuah jentera bomba berhampiran kuil.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di Insitut Jantung Negara (IJN).

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad bersambung Isnin.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 4:34 PM