SYAMSUL serah kepada penerbit berhubung isu kajian untuk pembikinan filem Mat Kilau. FOTO - NSTP
Ramlah Zainal


“PIHAK kami bersama penulis skrip asal sudah membuat kajian selama dua tahun untuk menghasilkan filem ini. Jadi, adalah tidak benar jika ada pihak menganggap filem ini dihasilkan tanpa kajian,” kata penerbit filem Mat Kilau, Shahruddin Dali mengenai dakwaan ia dihasilkan tanpa merujuk kepada ahli keluarga dan keturunan pahlawan Melayu itu.

Shahruddin ketika dihubungi berkata, pihaknya juga sudah bertemu beberapa waris Mat Kilau dan Tok Gajah yang memberikan sokongan mereka sepanjang kajian untuk menghasilkan filem epik itu sebelum ini.

“Filem ini bukan biografi Mat Kilau tapi ia adalah sedutan salah satu daripada siri perjuangan pahlawan itu yang panjang iaitu pada awal perjuangannya dulu.

“Ia juga mengangkat kepahlawanan dan perjuangan Tok Gajah, waris dan rakan seperjuangannya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika mengulas dakwaan seorang anggota keluarga Mat Kilau mengatakan pihak penerbit tidak merujuk kepada keluarga pahlawan itu sebelum memulakan penggambaran.

Lelaki terbabit yang memuat naik dakwaan itu di Facebook, baru-baru ini juga berharap pembikinan filem itu tidak akan memalukan Mat Kilau dan keturunannya.


DAKWAAN anggota keluarga Mat Kilau mengenai penerbit tidak merujuk kepada keluarga pahlawan itu yang dimuat naik di Facebook, baru-baru ini. FOTO Facebook.

Bercerita mengenai filem arahan Syamsul Yusof itu, Shahruddin berkata, kisah itu ialah ‘untold story’ yang belum pernah didedahkan dan rakyat Malaysia perlu mengetahuinya.

“Ia juga memaparkan kesusahan, pengorbanan dan kebijaksanaan Mat Kilau merancang melawan pihak musuh. Selain itu, ia turut menceritakan pembabitan pihak yang berjuang bersama bukan saja dalam kalangan pahlawan, tetapi sukarelawan dan ahli agama yang sama-sama mahu membebaskan tanah air daripada penjajah,” katanya.

Sementara itu, Syamsul berkata, dia menyerahkan kepada pihak penerbit untuk mengulas isu terbabit.

“Mereka lebih layak untuk mengulas isu yang berkaitan dengan skrip dan kajian mengenai Mat Kilau dan keturunannya.

“Selaku pengarah pula, saya sudah melaksanakan tugas diberikan untuk menyiapkan filem ini. Setakat ini, penggambaran berjalan lancar dan berlangsung selama tiga bulan,” katanya.

Filem Mat Kilau terbitan Studio Kembara ini menampilkan barisan pelakon seperti Adi Putra, Fattah Amin, Beto Kusyairy, Johan As’ari dan Nadiya Nisaa.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 15 Februari 2019 @ 5:04 PM