FARAH Hazel. FOTO Aziah Azmee
KEPUASAN buat Fara apabila lihat ibu bapa, adik-beradik bahagia. FOTO Aziah Azmee
Norhayati Nordin

LAHIR dan membesar dalam keluarga yang memiliki 10 beradik, ikatan kasih sayang dibina ternyata sangat utuh.

Limpahan kasih daripada ibu bapa juga sama rata dan tidak pernah dirasa antara mereka ada yang mendapat lebih.

Itulah pengakuan ikhlas penyanyi lagu Setiaku Pasti, Fara Hazel, 23, mengenai kasih sayang ibu bapa dan adik-beradiknya.

Ia sekali gus menjawab persoalan perasaan Fara terhadap sikap adiknya, penyanyi popular Aiman Tino, 21, terhadap keluarga mereka.

Apatah lagi, Aiman baru-baru ini menghadiahkan restoran baru yang juga cawangan kedua untuk diuruskan orang tua mereka.

“Saya memang tidak pernah terasa hati siapa mendapat perhatian lebih dalam keluarga besar kami kerana layanan tetap sama rata.

“Setakat ini, ayah dan ibu menyayangi kami dengan penuh kasih sayang dan hubungan pun sangat rapat. Sebagi kakak, saya bangga dengan sikap tanggungjawab Aiman yang sanggup berkongsi rezekinya untuk keluarga.

“Sikapnya yang sentiasa murah hati memberi hadiah kepada ibu bapa kami adalah tindakan wajar seorang anak lelaki,” katanya.

Menurut Fara, niat adiknya membahagiakan ibu bapa mereka dengan pemberian hadiah adalah cara masing-masing.

“Sebenarnya, saya pun seperti Aiman. Jika ada rezeki lebih memang selesa membelanjakannya untuk keluarga kami. Ia satu kepuasan apabila melihat ibu bapa dan adik-beradik yang lain gembira. Berbelanja untuk keluarga sangat bermakna,” katanya.

Menurut Fara, dia dan Aiman juga sentiasa berbincang untuk bekerjasama menyediakan keperluan keluarga kerana masih ramai adik yang kecil.

“Saya anak ketiga dan Aiman pula anak keempat, pembabitan kami dalam karier seni memang banyak membantu keluarga. Biasalah, apabila memiliki adik-beradik yang ramai, sebagai kakak dan abang semestinya kami mahu memberi terbaik buat mereka.

“Bagaimanpun, kebahagiaan ibu bapa juga keutamaan kami kerana mereka banyak berjasa dan ia sebenarnya tak mampu dibalas,” katanya.

Fara berkata, antara komitmen pernah dibuatnya untuk keluarga ialah membawa mereka bercuti dan membeli apakaian untuk adik-beradik.

Harap menyerlah dengan single ketiga

Walaupun pembabitannya di pentas Big Stage tahun lalu berakhir awal, karier nyanyian Fara nyata masih mendapat perhatian.

Diam tak diam, pemilik nama sebenar Nurfaraazira Yusri ini akan muncul dengan single ketiga, Sukar Untukku tidak lama lagi.

Masih mempertaruhkan genre lagu balada, Fara berkata, dia memiliki impian tersendiri terhadap single terbarunya itu.

Bercerita mengenainya, Fara berkata, dia teruja dapat bekerjasama dengan komposer baru yang berbakat seperti Amir Hariz.

“Saya sangat sukakan lagu itu kerana melodi dan liriknya mantap. Ia juga sesuai dengan vokal saya. Lagu ini juga serasi dengan penerimaan pendengar muzik generasi baru terutama dalam kalangan peminat remaja,” katanya.

Pernah muncul dengan single Ku Pasrah sekitar tahun lalu, Fara berkata, lagu itu kurang mendapat perhatian kerana dilancarkan pada masa yang tidak tepat.

“Ketika itu, saya terpalit dengan beberapa gosip peribadi yang akhirnya menutup ruang publisiti untuk lagu berkenaan. Saya belajar daripada pengalaman lalu membuatkan cuba tampil ‘bersih’ sepanjang mempromosikan single ketiga nanti,” katanya.

Mengulas mengenai pembabitannya dalam bidang lakonan, Fara yang pernah membintangi telefilem Cikgu Pencen berkata, kini dia mahu dia fokus pada karier nyanyian saja.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 20 Februari 2019 @ 6:31 AM