ANGGOTA polis mengiringi tertuduh yang memalsukan wang berjumlah RM4,000 keluar dari Mahkamah Sesyen, Sibu. FOTO Harun Yahya


PENJAWAT awam berusia 28 tahun didakwa Mahkamah Sesyen Sibu, hari ini, atas pertuduhan memalsukan wang berjumlah RM4,000.

Tertuduh, Abdul Syahmi Syafiq Abdul Rahman dituduh melakukan kesalahan itu pada jam 9.46 malam, 15 Februari lalu di sebuah bank di Jalan Nyabor, Sibu.

Pertuduhan mengikut Seksyen 489C Kanun Keseksaan dibacakan di hadapan Penolong Pendaftar Mahkamah, Romme Ahmad Zaidi dan tiada pengakuan direkodkan.

Jika didapati bersalah, tertuduh boleh dipenjarakan sehingga 10 tahun.

Mahkamah Sesyen Sibu kemudian menetapkan 26 Februari ini sebagai tarikh sebutan semula kes dan tertuduh dilepaskan dengan ikat jamin RM2,000 oleh dua penjamin.

Tertuduh turut kelihatan menitiskan air mata selepas ahli keluarga yang menunggu di luar bilik mahkamah memeluknya sebelum dibawa ke lokap mahkamah.

Sabtu lalu, tertuduh ditahan selepas membuat laporan di Balai Polis Sungai Merah pada jam 12.36 tengah hari kononnya wang RM4,000 yang dikeluarkan dari mesin pengeluaran wang automatik (ATM) bank adalah palsu.

Ketua Polis Daerah Sibu, Asisten Komisioner Stanley Jonathan Ringgit dilaporkan berkata suspek membuat laporan polis sebagai rujukan kepada pihak bank dengan harapan dapat menukar wang palsu dicetaknya kepada wang tulen.

Bagaimanapun, selepas didesak, suspek akhirnya mengaku mencetak wang palsu itu untuk memperdayakan pihak bank.

Suspek mencetak 25 keping RM100 dan 30 keping RM50 di kuarters kediamannya di Sibu sebelum menyerahkannya kepada tunangnya untuk perbelanjaan perkahwinan hujung bulan depan.

Bagaimanapun, tunang suspek mendapati wang diterimanya agak mencurigakan lalu memberitahu keluarganya.

Keluarga tunang suspek kemudian menasihatinya membuat laporan polis kerana wang dikeluarkan dari mesin ATM itu disyaki palsu.

Berita berkaitan

Terdesak sampai sanggup cetak wang palsu

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 21 Februari 2019 @ 1:22 PM