Zuliaty Zulkiffli
am@hmetro.com.my


“FERI ini baru berlepas dari Terminal Feri Langkawi pada 2.45 petang dan kira-kira lima minit kemudian saya terhidu asap kuat menyebabkan semua penumpang cemas,” kata Fatihah Arshad, 29.

Fatihah adalah anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kulim yang juga antara 52 penumpang termasuk kanak-kanak yang terselamat dalam kebakaran feri dalam perjalanan dari Pulau Langkawi ke Kuala Perlis.

Dalam kejadian, kesemua mangsa diselamatkan oleh beberapa bot persendirian yang kebetulan berada di sekitar kawasan berkenaan.

Menurut Fatihah, ada sebahagian penumpang sempat memakai jaket keselamatan manakala sebahagian lagi tidak sempat berbuat demikian.

Katanya, dalam keadaan cemas itu, dia dan beberapa penumpang sempat melompat ke dalam bot sebelum api marak.

"Bagaimanapun semua penumpang berjaya diselamatkan dan dapat meneruskan perjalanan ke Kuala Perlis.

"Kebakaran dipercayai bermula di bahagian belakang enjin bot feri berkenaan," katanya ketika dihubungi, hari ini.

Fatihah berkata, sebaik menyedari api mulai membakar feri dan penyelia feri kemudian mengarahkan kesemua penumpang keluar melalui pintu hadapan feri.

Kemudian kesemua penumpang diselamatkan dua bot persendirian yang ketika itu berada di lokasi kejadian dan tiada kemalangan jiwa berlaku.

Usaha pemadaman sedang dilakukan bomba Langkawi dengan bantuan Jabatan Laut Kedah.

Sementara itu, Ketua Cawangan Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Kedah, Penguasa Bomba Zamani Ismail mengesahkan pihaknya menerima laporan berhubung kebakaran membabitkan feri penumpang itu.

Berita berkaitan:

  • Feri terbakar di perairan Langkawi
  • Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 3:59 PM