ANGGOTA bomba membantu mengeluarkan mangsa dalam kemalangan membabitkan Perodua Myvi dan Toyota Hilux di Kilometer 32 Jalan Raub-Mempaga, Raub, hari ini. FOTO ihsan bomba.
Mohamad Azim Fitri Abd Aziz


DUA beranak yang dalam perjalanan pulang ke rumah maut selepas kereta dinaiki bertembung dengan kenderaan pacuan empat roda di Kilometer 32 Jalan Raub-Mempaga, Raub, hari ini.

Ketua Polis Daerah Raub, Superintendan Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, dalam kejadian 11.45 pagi itu, mangsa Siti Farhana Othman, 25, yang juga pemandu Perodua Myvi bersama ibunya, Ramlah Saad, 60, yang berasal dari FELDA Lembah Klau, Raub, maut di tempat kejadian selepas parah di kepala.

Katanya, kejadian itu turut menyebabkan suami Ramlah, Wan Mohamed Salleh Wan [email protected] Su, 73, parah dan kini dirawat di Hospital Raub.

“Siasatan awal mendapati pemandu Toyota Hilux, Lai Wan Man, 35, yang memandu dari arah Sungai Ruan menghala ke Mempaga, dipercayai memandu dalam keadaan laju sebelum terbabas ke laluan bertentangan.

“Kejadian itu menyebabkan Toyota Hilux berkenaan bertembung dengan kereta dipandu mangsa sebelum dua beranak terbabit disahkan meninggal dunia di tempat kejadian manakala pemandu Toyota Hilux hanya mengalami cedera ringan,” katanya.

Difahamkan, anggota Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Raub dikejarkan ke lokasi kejadian bagi mengeluarkan tiga mangsa yang tersepit sebelum dibawa ke hospital.

Wan Mohd Zahari berkata, siasatan di lokasi kemalangan mendapati keadaan jalan satu lorong dua hala dengan mempunyai garisan putih berkembar serta cuaca baik ketika kejadian.

Beliau berkata, pihaknya sudah mengambil keterangan pemandu Toyota Hilux berkenaan bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 25 Februari 2019 @ 10:11 PM