MAYAT mangsa tiba di Jabatan Forensik HRPB Ipoh untuk dibedah siasat.
Muhammad Apendy Issahak


LELAKI maut dipercayai akibat dibelesah selepas gagal menyamun rumah di Taman Orkid Jaya, Sungkai, hari ini.

Dalam kejadian 2.30 pagi itu, lelaki berusia 31 tahun itu bersama dua rakannya disyaki cuba menyamun dengan parang rumah didiami enam lelaki Pakistan.

Lelaki terbabit yang juga beralamat di taman perumahan berkenaan dipercayai gagal melarikan diri selepas penghuni rumah itu melawan mengakibatkan dia ditangkap manakala dua lagi rakannya berjaya meloloskan diri.

Ketua Polis Daerah Tapah, Superintan Wan Azharuddin Wan Ismail berkata, pihaknya menerima maklumat berhubung kejadian pada 2.45 pagi menerusi panggilan kecemasan 999 daripada orang awam yang memaklumkan terdengar pertengkaran di rumah terbabit.

“Sepasukan polis ke lokasi kejadian dan tiba pada 3.15 pagi di rumah berkenaan serta menemui lelaki dalam keadaan tidak sedarkan diri di ruang tamu.

“Pihak hospital yang sampai di tempat kejadian mengesahkan lelaki itu sudah meninggal dunia,” katanya ketika dihubungi di Sungkai, hari ini.

Menurutnya, hasil siasatan awal tangkapan dilakukan ke atas enam lelaki warga pakistan berusia 27 hingga 38 tahun yang mendiami rumah tempat kejadian.

“Seorang daripada tangkapan itu turut membuat laporan susulan menyatakan pada pagi itu ketika dia bersama lima rakan yang lain sedang berbual di ruang tamu secara tiba-tiba datang tiga lelaki masuk ke rumah mereka dengan memegang sebilah parang dan terus mahu menetak mereka.

“Seorang penghuni rumah menahan parang dengan tangan dan menyebabkan luka di tangan kiri serta terjadi pergelutan antara mereka dan akhirnya mereka berjaya menangkap seorang daripada lelaki terbabit,” katanya.

Wan Azharuddin berkata, hasil pemeriksaan pada badan mangsa mendapati dia lebam di bibir serta bengkak di belakang badan selain kesan lebam di mata dan kesan bengkak pada kepala kanan dipercayai akibat pergelutan.

Katanya, kesemua warga Pakistan itu baru tinggal di rumah berkenaan lebih kurang dua bulan.

“Motif kejadian dipercayai berpunca daripada mangsa bersama dua rakannya yang masih bebas cuba melakukan samun dengan menggunakan sebilah parang.

“Rakan mangsa masih belum dikenal pasti dan kes kematian ini disiasat memgikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan kerana bunuh dan semua enam lelaki Pakistan itu kini direman tujuh hari bagi membantu siasatan,” katanya.

Menurutnya, mayat mangsa dihantar ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB), Ipoh untuk bedah siasat bagimengetahui punca kematian.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 2:16 PM