MUHAMMAD Ashraff, saksi ke-16 hadir bagi inkues menentukan punca kematian Muhammad Adib. FOTO Intan Nur Elliana Zakaria
Syah Rul Aswari Abdullah dan Sarah Zulkifli


SEORANG pembantu pegawai pembedahan menceritakan detik-detik Muhammad Adib Mohd Kassim, 24, memberitahu dia dipukul, ketika anggota bomba itu dirawat di Institut Jantung Negara (IJN), Kuala Lumpur, akhir tahun lalu.

Pembantu Pegawai Pembedahan di IJN, Muhammad Ashraff Baruji, 27, berkata, Muhammad Adib hanya menunjukkan isyarat dengan menganggukkan kepala ketika ditanya berhubung kecederaan dialaminya.

Saksi ke-16 itu juga dilihat beberapa kali tidak menahan sebak ketika menjawab soalan Pegawai Pengendali Hamdan Hamzah pada hari ke-10 inkues kematian Muhammad Adib.

HAMDAN: Sepanjang kamu menjaga Adib. Kadang-kadang pada waktu malam. Ada kamu tanya berhubung kecederaannya?

ASHRAFF: Ya.

HAMDAN: Beritahu kepada mahkamah berhubung kejadian itu?

ASHRAFF: Pada malam itu... selepas fisioterapi, apabila saya mula mengemaskan Adib untuk tidur. Saya tanya soalan. Adib ingat tak apa yang terjadi? Pada mulanya, Adib gelengkan kepala. Kemudian, saya cakap pada dia... tak apa lah, bila nak cerita beritahu saja.

Kemudian, apabila saya berpusing dan mahu beredar, Adib tarik lengan baju kiri saya. Adib angguk dan tunjuk isyarat mahu menulis (di papan putih).

Saya berikan Adib papan putih dan kemudian tanya pada dia. Adib kena tarik ke? Dia guna tangan kiri dan tunjukkan isyarat (seperti letak tangan kiri dibahu kirinya macam kena tarik).

HAMDAN: Ketika itu, Adib tak berbaju?

ASHRAFF: Ketika itu, Adib tak berbaju. Saya tanya lagi pada Adib. Ada jatuh ke? Dia jawab dengan geleng kepala dan buat isyarat pusing-pusing dengan pergelangan tangan kiri (seperti tidak ada). Saya tanya lagi, Adib ingat kena pukul ke? Dia mengangguk. Sedar-sedar Adib kat mana, dia tunjuk isyarat ke bawah (seperti di sini). Selepas itu, dia mula gerakkan kaki dan tangan. Kemudian, saya cakap kita sambung... Adib rehat dulu. Saya pun beredar.

Terdahulu, Muhammad Ashraff memberitahu mahkamah bahawa dia amat rapat dengan Muhammad Adib sepanjang mangsa menerima rawatan di IJN.

Katanya, ini memandangkan dia adalah antara kakitangan perubatan yang terbabit dalam pasukan yang memantau rapi perkembangan rawatan anggota bomba itu.

Selain itu, dia secara sukarela membantu penjagaan Muhammad Adib apabila selesai menjalankan tugas hakikinya di IJN.

Katanya, dia juga selalu berkomunikasi dengan anggota bomba terbabit sama ada dengan isyarat anggota badan ataupun melalui papan putih (whiteboard) dan marker pen.

HAMDAN: Sebelum dia memberitahu kamu itu, macam mana keadaan dia... komunikasi dan fizikal dia?

ASHRAFF: Sebelum komunikasi itu, Adib boleh berkomunikasi dan memberi jawapan rasional. Apabila diberi arahan ketika fisioterapi. Dia faham dan buat latihan itu.

Menjawab soalan lain Hamdan, saksi sama berkata, dia tidak ingat tarikh komunikasi berkenaan berlaku, tetapi ia berlangsung selepas Muhammad Adib sudah berpindah katil dan sebelum anggota bomba itu menjalani prosedur ‘traechatomy’ (memasukkan tiub di leher).

Selain itu, kakitangan IJN itu berkata, dia secara spontan bertanyakan soalan kepada Muhammad Adib berhubung kejadian yang menyebabkan anggota bomba itu dirawat di IJN.

HAMDAN: Ada tak kamu beritahu siapa-siapa berhubung komunikasi ini, sepanjang Adib di IJN?

ASHRAFF: Tak ada.

HAMDAN: Selepas Adib meninggal, ada kamu beritahu siapa-siapa?

ASHRAFF Ada, saya beritahu kepada kepada Perunding Kanan Pakar Bedah Kardiotorasik IJN, Datuk Dr Mohamed Ezani Md Taib.

HAMDAN: Bila kamu beritahu Dr Mohamed Ezani?

ASHRAFF: Saya tidak ingat dengan tepat. Sama ada Hari Krismas atau malam Krismas.

HAMDAN: Kenapa kamu ambil masa yang lama untuk beritahu Dr Mohamed Ezani?

ASHRAFF: Pada masa itu, saya anggap komunikasi antara saya dan Adib adalah rahsia antara pesakit dan pasukan perubatan.

Sementara, ketika ditanya oleh peguam mewakili keluarga Muhammad Adib, Kamaruzaman A Wahab, Muhammad Ashraff juga berkata, Muhammad Adib kelihatan resah selepas mengangguk kepada soalan sama dipukul.

Muhammad Adib, 24, yang juga anggota van Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (ERMS) EMRS Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Subang Jaya, parah dalam rusuhan ketika kekecohan di tapak Kuil Sri Maha Mariamman, USJ 25, Subang Jaya pada 27 November tahun lalu.

Selepas 21 hari bertarung nyawa, Allahyarham menghembuskan nafas terakhir pada 17 Disember lalu di IJN.

Prosiding di hadapan Koroner Rofiah Mohamad.

  • Lagi berita berkaitan Inkues Adib
  • Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 26 Februari 2019 @ 6:11 PM