JONG Un melangkah keluar dari kereta api selepas tiba di Dong Dang, Vietnam semalam sebelum meneruskan perjalanan ke Hanoi dengan menaiki kereta. -Foto EPA
Agensi

PEMIMPIN Korea Utara, Kim Jong Un tiba di Hanoi, Vietnam semalam, dengan kereta api ‘kebal’ selepas menempuh perjalanan 60 jam untuk pertemuan kedua dengan Presiden Amerika Syarikat, Donald Trump.

Timbul persoalan kenapa Jong Un memilih kereta api untuk ke Hanoi berbanding pesawat yang hanya mengambil masa tiga atau empat jam.

Menurut AFP, Jong Un memulakan perjalanannya tengah hari Sabtu lalu, menaiki kereta api berperisai dan dikawal ketat dari stesen di Pyongyang pada jam 4.30 petang (waktu tempatan) sebelum singgah di stesen Dandong di sempadan Korea Utara- China dan Beijing.

Kereta api itu tiba di stesen Dong Dang di Vietnam semalam, sebelum Jong Un meneruskan perjalanan ke Hanoi dengan konvoi kereta yang mengambil masa kira-kira tiga jam. Jarak lurus antara Pyongyang dan Hanoi ialah kira-kira 4,500 kilometer.

Korean Herald melaporkan, penganalisis percaya antara sebab Jong Un menaiki kereta api ialah mencontohi datuknya yang juga pengasas Korea Utara, Kim Il Sung yang melawat Vietnam pada 1958 dan 1964 menggunakan kereta api dan kapal terbang untuk ke Hanoi melalui China.


ORANG ramai berbaris di tepi jalan untuk melihat konvoi kenderaan yang membawa Jong Un menuju ke Hanoi semalam. -Foto EPA

Jong Un sering dilihat meniru datuknya bagi menunjukkan bahawa beliau adalah pewaris rejim keluarga Kim.

Kereta api itu juga melintasi China dan perjalanan itu menjadi cara Korea Utara menunjukkan hubungan baiknya dengan Beijing.

Perjalanan menaiki kereta api dianggap sebagai pilihan paling selamat kerana pesawat Chammae-1 milik Jong Un sudah usang dan Korea Utara juga kekurangan juruterbang berpengalaman untuk penerbangan jarak jauh.

Ketika Jong Un ke Singapura untuk perjumpaan pertamanya dengan Trump pada Jun 2018, beliau menaiki pesawat yang dipinjamkan kerajaan China.

Kereta api khas itu dibina dengan hiasan dalaman seperti hotel mewah serta ciri keselamatan tinggi, termasuk plat kebal menjadikannya amat berat menyebabkan kelajuan maksimumnya hanya 60 kilometer sejam.

Jong Un dijangka bertemu Trump pada hari ini dan esok tetapi pengisian penemuan itu tidak didedahkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 6:30 AM