PEGAWAI daripada Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Jabatan Kesihatan Negeri Johor memeriksa dan menyerahkan notis penutupan sebuah klinik di Johor Bahru, semalam.
Izlaily Nurul Ain Hussein

KELIBAT ramai ‘pesakit’ yang berduyun-duyun muncul saban pagi membongkar kegiatan haram sebuah klinik di sini, yang menjual sijil cuti sakit (MC) palsu.

Difahamkan setiap sijil cuti sakit itu dijual pada harga antara RM10 dan RM20 mengikut jumlah hari dikehendaki ‘pesakit’.

Klinik berkenaan turut dikesan menjual ubat lapuk yang tamat tempoh selain premis didapati kotor.

Tiga kesalahan besar itu cukup membuatkan klinik itu diarah tutup serta-merta semalam selepas notis tunjuk sebab dan notis perintah penutupan premis dikeluarkan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) kepada pengendali klinik berkenaan.

Klinik yang beroperasi dengan seorang doktor dan dua pembantu sejak 1975 itu diberi tempoh 21 hari berkuat kuasa semalam untuk menghentikan operasi selain menambah baik dan mematuhi arahan KKM.


UBAT-ubatan tidak disusun dengan elok.

Ketika penyerahan notis dilakukan lima pegawai Cawangan Kawalan Amalan Perubatan Swasta, Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) di klinik berkenaan semalam, klinik itu masih beroperasi dan ada pesakit yang menunggu giliran bertemu doktor.

Difahamkan, kebanyakan pesakit masih datang ke klinik berkenaan kerana mahu membeli MC yang dijual antara RM10 hingga RM20 mengikut jumlah hari dikehendaki ‘pesakit’.

Kegiatan itu didedahkan majikan yang sering menerima MC dikeluarkan doktor klinik berkenaan selain risikan JKNJ.

Ketika pemeriksaan, keadaan klinik itu kotor dan tidak terurus.

Tandas klinik kotor dan tidak mempunyai sumber air, kurang bekalan elektrik, pengurusan ubat tidak teratur selain kelengkapan perubatan yang usang.

Selain meja doktor yang bersepah, ubat-ubatan juga tamat tempoh serta jarum suntikan yang sudah digunakan tidak dibuang dengan betul.


NOTIS penutupan serta-merta ditampal di klinik terbabit.

Antara kesalahan lain adalah tidak mempamerkan salinan perakuan pendaftaran klinik perubatan swasta, gagal mematuhi keselamatan dan kualiti penjagaan pesakit, mengeluarkan MC secara berleluasa dan tidak mempamerkan carta organisasi.

Pengendali klinik juga tidak menyimpan atau menyenggara daftar kehadiran, rujukan dan kematian pesakit termasuk rekod kesihatan pesakit, tidak menyediakan peralatan kecemasan asas dan gagal mematuhi cara pelupusan ubat luput.

Semua kesalahan itu melanggar Akta Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta 1998 (Akta 586) dan Peraturan-Peraturan Kemudahan dan Perkhidmatan Jagaan Kesihatan Swasta (Klinik Perubatan Swasta atau Klinik Pergigian Swasta) 2006.

Sementara itu, Pengarah JKNJ, Dr Selahudeen Abd Aziz ketika dihubungi mengesahkan penutupan klinik itu.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 27 Februari 2019 @ 7:30 AM