BRONT PALARAE
Syafil Syazwan Jefri
syafil.syazwan@hmetro.com.my


PADA usia 41 tahun, tentunya pelbagai pengalaman ditimba. Bagi pelakon versatil, Bront Palarae, dia kini lebih selesa meneroka tempat baru.

Pelakon tinggi lampai ini bahkan mengakui zaman untuk berseronok sudah berlalu.

Bront atau nama sebenarnya Nasrul Suhaimin Saifuddin berkongsi kisah perjalanan kariernya yang kini berkembang di negara jiran.

“Pada usia begini saya tak layan lagi benda yang tiada kaitan dengan kerja. Fokus saya sekarang adalah melebarkan sayap ke luar negara dan meneroka pasaran mereka.

“Banyak yang saya belajar apabila meneroka tempat baru kerana budaya kerja setiap negara berbeza,” katanya.

Menurut pelakon itu, sehingga kini dia tidak pernah berhenti belajar dan mendalami ilmu.

“Proses pembelajaran sentiasa berjalan. Jadi, setiap kali saya belajar ilmu baru, saya akan dapat pengalaman baru.

“Namun, kalau terlalu lama di sesebuah tempat, saya tak mahu jadi terlalu selesa kerana ia bukan perasaan yang menyeronokkan,” katanya.

Diminta menjelaskan maksud di sebalik kata-katanya, Bront dengan tenang menjelaskan dia lebih teruja untuk mengenal perkara baru.

“Konsepnya begini, sebagai manusia apabila terlalu lama berada di zon selesa kita jadi manja dan tak seronok dengan apa yang dilakukan.

“Jadi, saya lebih teruja untuk teroka perkara baru. Hari-hari yang dilalui rasa lebih menyeronokkan dan bersemangat,” katanya.

Kian mencipta nama di Indonesia, Bront selesa sekiranya namanya tidak terlalu popular.

“Kalau tak popular kehidupan jadi lebih mudah. Kehidupan tidak akan diintai mata-mata masyarakat yang dahagakan kisah peribadi.


BRONT teruja teroka perkara baru untuk buat dia lebih bersemangat. -Foto ZULFADHLI ZULKIFLI.

“Apabila orang tak kenal, jadi lebih seronok kerana orang tidak akan menjangkakan sesuatu yang terlalu tinggi daripada kita.

“Jadi, apabila berlakon dan berikan hasil kerjaya berkualiti, ia seperti satu kejutan buat mereka. Itu lebih mencabar dan menyeronokkan bagi saya,” katanya.

Selain Indonesia, nama Bront juga kian menjadi sebutan di beberapa negara Asia termasuk Filipina.

Beberapa karya lakonannya akan menemui penonton antaranya filem aksi jenayah, Fly By Night, filem adiwira berjudul Gundala dan filem seram yang dilakonkan di Filipina, Motel Acacia.

Duta ‘kecil’ industri filem Malaysia

Terkini, Bront juga dilantik sebagai duta untuk acara Festival Filem Antarabangsa Malaysia ketiga (MIFF) & Anugerah Golden Globe Malaysia 2019 (MGGA).

Bront berkata, dia kini tidak perlu lagi malu setiap kali diajukan soalan oleh penggiat filem antarabangsa mengenai industri karya tanah air.


BRONT turut membintangi filem aksi jenayah, Fly By Night, filem adiwira berjudul Gundala dan filem seram yang dilakonkan di Filipina, Motel Acacia. -Foto ZULFADHLI ZULKIFLI.

“Saya sudah beberapa kali menghadiri acara festival filem di luar negara. Apabila kerap ditanya sama ada kita ada acara festival filem bertaraf antarabangsa, timbul rasa malu.

“Nampaknya sekarang saya sudah ada jawapan sekiranya diajukan soalan sama selepas ini,” katanya.

Menurut Bront, acara sebegini sekali gus membuka ruang kepada penggiat filem tempatan untuk mengetengahkan karya mereka dengan lebih meluas.

“Menerusi acara sebegini, wujud ruang untuk penggiat filem tempatan memperkenalkan karya mereka bukan saja kepada penonton tempatan tetapi juga luar negara.

“Saya bangga apabila program seumpama ini diadakan sejak tiga tahun lalu,” katanya.

Selain Bront, MIFF dan MGGA juga mengekalkan pelakon Lee Sinje sebagai duta.

Acara MIFF bakal berlangsung pada 14 hingga 19 Julai ini manakala MGGA pula akan diadakan pada keesokannya.

Tidak hanya mengetengahkan filem tempatan, MIFF juga menerima penyertaan daripada penggiat filem luar negara.

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 28 Februari 2019 @ 5:30 AM