NOOR Aini menunjukkan gambar Syazwan yang terlantar hampir lima bulan akibat kemalangan ketika ditemubual di Shah Alam. FOTO Faiz Anuar.


KASIH sayang seorang wanita membatasi segalanya apabila setia menjaga suami yang terlantar akibat kemalangan sehingga terpaksa menjadikan hospital sebagai ‘rumah’ kedua mereka.

Noor Aini Ramlee, 28, berkata suaminya itu, Syazwan Ahmad, 32, kini dirawat di Hospital Sungai Buloh selepas selesai menjalani pembedahan memasukkan semula tempurung kepala pada 16 Februari lalu.

“Pada 16 Oktober tahun lalu, suami yang menunggang motosikal terbabas sendiri ketika sedang menuju ke tempat kerjanya di Seksyen 15, Shah Alam.

“Selepas kejadian itu, dia mampu terlantar dan terpaksa memakai lampin pakai buang serta makan melalui tiub.

“Keadaan semakin buruk apabila dia turut mempunyai darah beku di kepala akibat kesan hentakan.

“Ia menyebabkan suami tidak mampu pulih dan sebanyak 11 pembedahan kepala sudah dilakukan setakat ini,” katanya ketika ditemui Harian Metro.

Kisah Noor Aini mendapat perhatian netizen di Facebook (FB) yang rata-ratanya memberi kata-kata sokongan dan menggelarkan beliau wanita tabah.

Ibu kepada dua anak itu berkata, dia pernah terpaksa meminta bantuan wang daripada orang ramai untuk rawatan memasukkan skru dalam tempurung kepala berjumlah RM2,400 di media sosial.

“Pada waktu itu, saya memang sudah tiada wang dan amat memerlukannya bagi menampung alatan skru yang akan digunakan.

“Alhamdulillah, saya tidak sangka apabila menerima bantuan daripada rakan FB yang berjaya mengumpul wang berkenaan,” katanya.

Noor Ainie berkata, anaknya iaitu Alysa Damia, 7, dan Mohammad Arash Danial, 6, kini berada dalam jagaan ibu mentuanya di Pasir Puteh, Kelantan.

Menurutnya, dia terpaksa berbuat demikian kerana lokasi rawatan suami sering kali berpindah.

“Kadang-kadang di Hospital Tengku Ampuan Rahimah (HTAR) Klang, Hospital Shah Alam (HSAS) dan Hospital Sungai Buloh.

“Rumah kami di Seksyen 26, Shah Alam dan sukar bagi saya berulang-alik balik ke rumah jika pergi ke Hospital Sungai Buloh. Kini, saya hanya mengharapkan abang untuk menghantar saya pergi ke hospital dengan menaiki motosikal.

“Hanya telefon bimbit menjadi pelepas rindu saya kepada anak yang turut memahami keadaan bapa mereka,” katanya.

Menurutnya, dia kini hanya bergantung kepada bantuan daripada Lembaga Zakat Selangor (LZS) sebanyak RM400 dan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) berjumlah RM300 sebulan.

Namun, katanya, dia perlu bekerja untuk menampung kehidupan keluarga apatah lagi masih mempunyai hutang seperti televisyen dan motosikal.

“Saya cuma bimbang tiada sesiapa dapat menjaga suami yang memerlukan perhatian sepenuhnya sekiranya saya bekerja nanti.

“Orang ramai yang ingin menghulurkan sumbangan boleh menyalurkannya ke akaun Maybank saya bernombor 162218680714,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 12:12 AM