“SAYA berasa lebih puas kerana diberikan watak pelbagai yang selama ini tidak dapat semasa berlakon sinetron.” -Miller
Sudirman Mohd Tahir

FILEM Hide & Seek Minako yang ditayangkan di Indonesia menggunakan judul Petak Umpet Minako dua tahun lalu mencatat kejayaan tersendiri.

Bertitik tolak dari situ, filem arahan Billy Christian yang menampilkan pelakon asal Malaysia selaku watak utama, Miller Khan dibawa ke negara ini dan mula ditayangkan semalam.

Miller, 32, atau nama sebenarnya Mohammad Suhaemi Ali Dad Khan menyifatkan keputusan penerbit membawa filem itu ke sini adalah tepat sekali gus memberi nafas baru kepada filem itu.

Miller berkata, selepas ia ditayangkan di Indonesia, penerbit mendapat pelbagai tawaran untuk menayangkan filem itu di platform digital.

“Memandangkan ini filem pertama produksi berkenaan, dia tidak mahu melepaskan filem ini ke platform lain walaupun tawaran datang daripada pelbagai pihak termasuk Netflix.

“Keputusan ketika itu tepat hingga dapat tawaran daripada penerbit di sini untuk menayangkan filem ini. Bagi saya ia satu permulaan yang bagus. Malah, ia seperti memberi nafas baru sama seperti ketika awal tayangan di sana.

“Kebetulan saya berasal dari sini, jadi sedikit sebanyak ada alasan kukuh filem ini ditayangkan. Saya yakin filem ini mampu menarik penonton untuk datang ke pawagam,” katanya.

Miller yang hadir pada sesi tayangan media filem itu Isnin lalu mengakui lega dan gembira apabila mendapat maklum balas positif daripada penonton dan media.

“Maklum balas diberikan membuatkan saya lebih bersemangat. Kata-kata mereka sangat berharga buat saya dan memberi inspirasi untuk terus maju dalam bidang ini.

“Sebagai pelakon, saya perlukan sokongan sebegini. Sejujurnya, saya puas hati apabila mereka menyukai filem ini,” katanya.

Menurut Miller, kepuasan seumpama itu yang dicari selama ini selepas lebih 10 tahun terbabit dalam industri hiburan Indonesia.

Malah, keputusannya meninggalkan dunia sinetron sejak dua tahun lalu berbaloi apabila setiap filem lakonannya memberi kesan dalam kerjaya.

“Sudah dua tahun lebih saya fokus kepada filem. Saya berasa lebih puas kerana diberikan watak pelbagai yang selama ini tidak dapat semasa berlakon sinetron.

“Bagi saya, berlakon sinetron sama saja. Selain diberikan watak sama, lakonan saya juga terhad dan berada di tahap sama saja. Takkan selama-lamanya saya nak begitu.

“Saya juga inginkan perubahan yang mampu membawa nama saya ke peringkat lain. Seperti orang lain, saya juga nak berjaya dan menikmati suasana berbeza dalam berkarya,” katanya.

Miller berkata, berlakon filem bukan saja memberikan kepuasan berganda untuknya, tetapi dia mendapat ilmu baru dalam setiap filem dibintangi.

“Setiap filem menawarkan saya watak berbeza. Dari situ, saya dapat pelbagai ilmu baru. Bukan saya nak kata berlakon sinetron tidak bagus, tetapi sudah sampai waktu saya keluar dari zon selesa.

“Sepanjang 10 tahun terbabit dalam penerbitan sinetron, saya sudah berlakon lebih 2,000 episod. Cukuplah buat saya,” katanya.

Keputusan Miller itu disambut baik penggiat filem di sana apabila tawaran berlakon filem tidak pernah putus.

Filem lakonannya yang sedang menanti tayangan adalah Pintu Merah dan Eyang bergenre seram.

Miller berkata, buat masa sekarang dia banyak mengambil tawaran daripada genre aksi dan seram.

“Bukan tidak mahu genre romantik, tetapi nanti sama saja dengan sinetron. Seboleh-bolehnya saya nak tukar pemikiran peminat yang menganggap saya wajah sinetron.

“Disebabkan itu, saya nak buat genre lain. Ternyata, ia berhasil apatah lagi dibantu dengan penggayaan imej saya yang berubah-ubah.

“Dari situ juga, saya dapat watak berbeza. Pada pandangan mereka, saya boleh lari daripada imej romantik,” katanya yang bakal terbabit dalam filem aksi Korea Selatan.

NAK KAHWIN SEBELUM 38 TAHUN

Pada usia sekarang, Miller mengakui belum memikirkan soal kahwin walaupun sudah dua tahun menjalin hubungan dengan kekasihnya, Nathalie Stephens.

“Kalau tanya saya soal kahwin, jujur cakap belum fikir dan ada sebarang perancangan ke arah itu. Saya masih mahu fokus pada kerjaya.

“Saya belum puas berkarya. Banyak lagi saya nak capai dalam kerjaya ini. Saya fikir, pada usia sekarang masih awal untuk berkahwin. Paling lambat pun mungkin sebelum 38 tahun. Jadi, saya ada masa enam tahun dari sekarang untuk bekerja keras dan mengejar apa diinginkan,” katanya.

Ditanya mengenai kekasihnya itu, Miller menyifatkan dia wanita yang cukup matang.

“Walaupun jarak usia kami 10 tahun, dia cukup matang. Dia sangat memahami kerjaya saya. Itu yang membuatkan saya selesa bersamanya.

“Ibu dan keluarga saya sudah mengenalinya. Ibu juga sukakannya sebab pandai masak,” katanya.

Menurut Miller, dia membayangkan kerjayanya selepas berkahwin adalah di kerusi pengarahan atau penerbitan.

“Setiap orang ada sasaran dan impian mereka. Selepas kahwin, mungkin ketika itu saya sudah jadi pengarah dan memiliki syarikat penerbitan sendiri,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Miller turut menjadi ejen atau orang tengah bagi beberapa pelakon tempatan untuk berlakon di sana antaranya Syafiq Kyle, Idris Khan dan Daler Yusof.

Selain itu, Miller juga mempunyai syarikat pengurusan artis iaitu A.M Managment dan terdapat 10 pelakon lelaki bernaung di bawahnya.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 6:00 AM