PROSES memindahkan gajah liar dari Bersia, Gerik, Perak. -Foto NSTP
Mohd Jamilul Anbia Md Denin
am@hmetro.com.my


KUALA LUMPUR: Kematian mengejut seekor gajah liar berpunca sakit ulser di Gerik, Perak, Isnin lalu, adalah kes pertama dikendalikan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN).

Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim berkata, sakit ulser lidah dan gusi dihadapi gajah betina itu adalah penyakit serius yang boleh mengakibatkan kematian.

Menurutnya, penyakit itu boleh menyebabkan haiwan liar itu mati akibat kesukaran untuk makan.

“Berdasarkan bedah siasat dilakukan doktor veterinar terhadap gajah itu mendapati sakit dialami gajah itu dipercayai menjadi punca kematian mamalia darat terbesar itu,” katanya.

Kadir berkata, selain faktor penyakit, gajah itu turut boleh mati mendadak akibat penyakit tua.

“Bangkai gajah liar yang ditemui mati di laluan jalan raya Timur Barat berhampiran Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan itu sudah ditanam anggota PERHILITAN menggunakan khidmat jengkaut.


BEDAH siasat dilakukan PERHILITAN terhadap gajah betina liar yang mati mengejut di laluan jalan raya Timur Barat berhampiran Gerik, Perak ke Jeli, Kelantan.

“Berdasarkan pemantauan kami, masih terdapat beberapa kumpulan gajah liar yang mendiami hutan di sekitar laluan berkenaan,” katanya.

Kadir menasihati pengguna jalan raya supaya berwaspada sekiranya melalui laluan berkenaan terutama pada waktu malam.

“Rondaan dan pemantauan terhadap pergerakan hidupan liar di kawasan itu sentiasa dilakukan anggota PERHILITAN.

“Dianggarkan antara 1,200 hingga 1,500 gajah liar masih mendiami hutan di Semenanjung Malaysia. Ini membuktikan hutan negara kini masih kaya dengan khazanah alam semula jadi yang perlu dipulihara,” katanya.

Dalam kejadian Ahad lalu, berpuluh pengguna jalan raya Timur Barat berhampiran Gerik, Perak, terpaksa memberhentikan kenderaan selepas mendapati seekor gajah seberat hampir lima tan menghalang laluan.


DUA gajah pengiring memandu gajah liar yang ditangkap.

Gajah betina itu didakwa enggan beredar masuk ke dalam hutan berhampiran dan berjalan di atas jalan raya.

Namun sekitar jam 8.30 malam, gajah itu tiba-tiba rebah dan terjatuh ke dalam longkang selepas usaha menghalangnya bergerak ke kawasan berkenaan gagal.

Doktor veterinar yang dipanggil ke lokasi berkenaan pada jam 3 pagi segera membuat pemeriksaan selain memberikan suntikan multi-vitamin dan ubat tahan sakit kepada gajah itu.

Namun gajah itu kemudian disahkan mati oleh doktor veterinar pada jam 10.35 pagi Isnin.

Pemeriksaan awal mendapati gusi gajah berkenaan mempunyai nanah dan terdapat ulser di lidah gajah berkenaan.

Artikel ini disiarkan pada : Jumaat, 1 Mac 2019 @ 8:01 AM