DR ELIESMAZIAH, pereka tempatan yang menempa nama di UK apabila tudung rekaannya digunakan oleh polis wanita Muslim di UK.
Suraya Roslan


TIDAK mudah bagi seorang anak Melayu menempa nama di bumi asing iaitu United Kingdom (UK), namun pencapaian wanita berasal dari Melaka ini cukup membanggakan apabila tudung rekaannya dipilih untuk dipakai polis wanita Muslim negara itu.

Cukup manis, tudung rekaan ibu tiga anak itu juga dalam perhatian pihak bomba wanita Islam UK serta untuk kegunaan polis wanita Muslim unit taktikal negara berkenaan.

Bagi wanita ini, Dr Eliesmaziah Alias, 45, atau lebih dikenali dengan Dr Elies dia mengambil langkah kanan ketika berjumpa beberapa polis ketika satu pameran di UK.

“Saya tengok material pakaian seragam mereka tidak sesuai untuk anggota polis, saya berbincang dengan mereka dan daripada situ bermulalah perbincangan saya dengan pihak atasan mereka.

“Tudung sukan jenama MoreSlim saya mereka gunakan untuk polis wanita Muslim barisan hadapan yang biasa seterusnya meminta saya membantu mencipta hijab yang sesuai untuk polis wanita Muslim taktikal unit,” katanya yang kini menetap di Manchester.

Katanya, banyak kali rekaannya menjadi eksperimen polis UK dan berharap dapat menabur bakti juga buat pasukan keselamatan negara ini.

“Tudung saya istimewa dan saya benar-benar berharap dapat membantu polis, tentera dan anggota keselamatan lain di Malaysia.


DR ELIESMAZIAH bersama keluarga.

“Tudung saya lain daripada segi reka bentuknya, ciri-ciri keselamatan dan yang paling penting tentang komposisi fabriknya yang direka khas, ada pengesahan ISO (International Organization for Standardization) EN (European Standard) dan AATCC (American Association of Textile Chemists and Colorists) malah sangat selesa dipakai untuk waktu yang panjang, lama atau keadaan tertekan,” katanya.

Dia yang juga Pengetua Sekolah Komuniti Malaysia Manchester berkata, tudung yang diberi nama MoreSlim itu sudah dipakai polis negara itu sejak Oktober tahun lalu dan sebulan selepasnya dia diminta mereka untuk pasukan taktikal unit pula.

“Ada dua rekaan tudung untuk mereka, hanya berbeza pada lambang pasukan mengikut kontinjen.

“Untuk polis biasa sama dengan tudung MoreSlim yang boleh dibeli orang ramai dan tudung yang khas pula untuk pasukan barisan hadapan. Bagaimanapun buat masa ini, saya tidak dapat dedahkan jumlah berapa ramai polis wanita Muslim yang memakai tudung saya di UK,” katanya.

Menceritakan pengalaman sebaik tudung rekaannya dipilih pasukan keselamatan negara itu, Dr Elies berkata, dia sudah bekerjasama dengan mereka dari awal jadi tiada apa yang mengejutkan berikutan ia bukannya satu pertandingan.


DR ELIESMAZIAH bersama suami tersayang.

“Tapi saya berasa gembira bekerja dengan mereka yang sentiasa menghormati ilmu dan kepakaran saya dan mengambil kira idea orang Malaysia.

“Mereka faham dan menghormati orang Islam. Ada cerita yang buat saya tersentuh, saya dihubungi seorang bos di salah satu kontinjen polis UK yang banyak berbincang dengan saya mengenai pakaian sesuai untuk polis wanita Islam terutama tudung.

“Saya diminta mereka tudung yang sesuai untuk polis Islam bertugas di barisan hadapan, tidak beberapa ketika, bos berkenaan menghubungi saya lagi dalam keadaan tergesa-gesa ingin menempah tudung yang sedia ada tanpa menunggu tudung istimewa siap berikutan minggu depannya terdapat seorang anggota polis wanita Islam mula bekerja dengan pasukannya. Lebih menyentuh hati saya, dia mahu anggotanya itu bersedia dan bertugas dalam keadaan selesa malah sanggup menggunakan duit sendiri membeli tudung saya,” katanya.

Katanya, tudung MoreSlim yang boleh dibeli menerusi laman web www.instanthijabs.co.uk itu dilancarkan di London pada April 2018.

“Malah, saya kini turut dihubungi bomba wanita Muslim UK untuk mereka tudung untuk mereka,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 7:30 AM