Hairulazim Mahmud dan Rizanizam Abdul Hamid


CALON Barisan Nasional (BN) Zakaria Hanafi berjaya merampas kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Semenyih pada Pilihan Raya Kecil (PRK) hari ini selepas diumumkan menang sebentar tadi.

Zakaria memperoleh 19,780 undi mengatasi lawannya dari Pakatan Harapan (PH) Muhammad Aiman Zainali yang mendapat 17,866 sekali gus menang dengan majoriti 1,914 undi.

Sementara Nik Aziz Afiq Abdul, 25, mewakili Parti Sosialis Malaysia (PSM) mendapat 841 undi dan calon BEBAS iaitu Kuan Chee Heng, 54, atau lebih dikenali sebagai ‘Pakcik Kentang’ sekadar meraih 725 undi.

PRK DUN Semenyih diadakan susulan kematian Allahyarham Bakhtiar Mohd Noor di Hospital Kajang pada 11 Januari lalu akibat serangan jantung.

Pada PRU-14 lalu, Bakhtiar menewaskan penyandang kerusi itu dari BN, Datuk Johan Abdul Aziz serta dua lagi calon iaitu Mad Shahmiour Mad Kosim (PAS) dan S Arutchelvan mewakili PSM.

Bakhtiar mengalahkan Johan daripada UMNO yang menjadi wakil rakyat di kerusi itu selama dua penggal dengan majoriti 8,964 undi selepas memperoleh 23,428 undi.

Kemenangan itu diumumkan oleh Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK DUN Semenyih Datuk Mohd Sayuthi Bakar.

Artikel ini disiarkan pada : Sabtu, 2 Mac 2019 @ 9:23 PM
CALON Barisan Nasional, Zakaria Hanafi. FOTO Mohd Yusni Ariffin