Mohamad Fahd Rahmat
fahd@hmetro.com.my

Keputusan Kabinet untuk meminda Kanun Keseksaan (Akta 574) dengan memasukkan kesalahan menyuntik kebencian dan penghinaan terhadap mana-mana agama mengundang reaksi pelbagai pihak.

Lebih-lebih lagi tindakan kerajaan itu hadir susulan beberapa kes penghinaan agama kebelakangan ini sehingga menimbulkan pergeseran dan membangkitkan sentimen agama serta kaum termasuk perdebatan panas di ruangan media sosial.

Ikuti temu bual wartawan Metro Ahad, Mohamad Fahd Rahmat dan juruvideo, Halim Salleh bersama Peguam dan Ketua Eksekutif Pusat Penyelidikkan dan Advokasi Hak Asasi Manusia (CENTHRA) Azril Mohd Amin.


AZRIL Mohd Amin. FOTO Owee Ah Chun.

Pindaan terhadap Akta 574, bagaimana tuan melihat perkara ini?

Sementara kenyataan tersebut dialu-alukan kerana mencerminkan hasrat memelihara kesucian Islam dan keharmonian masyarakat, saya berharap kerajaan akan menjelaskan dengan lebih baik apa hasrat sebenarnya berhubung cadangan pindaan tersebut.

Pada 26 Oktober 2018, Menteri Hal Ehwal Agama Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa ada mengatakan bahawa kerajaan akan mengusulkan tiga rang undang-undang baru bagi menjaga keharmonian negara iaitu rang undang-undang anti-diskriminasi, rang undang-undang harmoni kebangsaan dan rang undang-undang kebencian bangsa dan agama.

Kini beliau berhasrat meminda Kanun Keseksaan atau Akta 574 pula. Sebenarnya Akta 574 sudah ada peruntukan mengenai hasutan terhadap agama iaitu dalam Seksyen 298 dan Seksyen 298A. Cuma ia kurang dikuatkuasakan.

Berdasarkan Akta 574, apa hukuman menanti pesalah?

Akta 574 mempunyai dua seksyen yang menangani masalah hasutan terhadap agama iaitu Seksyen 298 dan Seksyen 298A.

Seksyen 298 memperuntukkan bahawa sesiapa yang mengucapkan apa-apa yang menyinggung perasaan agama seseorang adalah bersalah, tetapi cuma dihukum penjara setahun dengan bayaran denda.

Manakala Seksyen 298A lebih komprehensif iaitu sesiapa yang menyebabkan ketidakharmonian atau menjejaskan perpaduan nasional atas sebab agama maka ia boleh dijatuhi kesalahan penjara tidak kurang dari dua tahun dan tidak lebih dari lima tahun. Akan tetapi, Mahkamah Persekutuan dalam kes tahun 1988 iaitu kes Mamat bin Daud dan Lain-lain lawan Kerajaan Malaysia memutuskan bahawa seksyen ini tidak berperlembagaan kerana ia cuba mengawal hal ehwal agama Islam yang terletak di dalam bidang kuasa negeri.

Keputusan ini pada pendapat saya adalah terkhilaf namun keputusan mahkamah dalam hal ini masih berkuat kuasa sehingga hari ini.

Tindakan menyuntik kebencian dan penghinaan terhadap mana-mana agama umpama sudah lumrah dalam kalangan masyarakat Malaysia. Pendapat tuan.

Hal ini disebabkan wujud di sebaliknya gerakan menuntut hak asasi manusia tanpa batas. Tindakan beberapa pihak tidak bertanggungjawab menyuntik kebencian dan penghinaan terhadap agama lebih membabitkan agama Islam daripada bukan Islam terutama sejak kebelakangan ini.

Tindakan individu tertentu menghina Rasulullah SAW umpamanya melibatkan Islam dan jarang sekali kita lihat kes di mana agama selain Islam dicerca sedemikian rupa.

Rakyat Malaysia sama ada beragama Islam atau bukan harus ingat akan kedudukan Islam sebagai Agama Persekutuan menurut Perkara 3(1) Perlembagaan dan selain itu kita juga terikat dengan norma antarabangsa mengenai kebebasan beragama seperti tertakluk di bawah Perkara 18 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat 1948. Kita juga terikat dengan Perisytiharan Hak Asasi Manusia Dalam Islam Kaherah 1990 yang mana Perkara 10 menyatakan bahawa Islam adalah agama sebenar dan kedaifan atau kejahilan seseorang itu tidak boleh digunakan sebagai alasan atau sebab bagi menukar agamanya ke selain Islam.

Perkara 22 Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN 2012 juga memperuntukkan bahawa semua hasutan berbaur agama harus dihapuskan sama sekali.

Saya percaya sekiranya rakyat Malaysia faham peruntukan undang-undang dan hak asasi serta norma antarabangsa, perkara menyedihkan seperti ini tidak akan berlaku.

Apabila pindaan dibuat, apa jenis hukuman yang tuan rasa lebih wajar dijatuhi terhadap pelaku yang disabitkan kesalahan?

Perkara pertama yang perlu diberi perhatian oleh kerajaan adalah apa sebenarnya yang hendak dilakukan.

Sekiranya kerajaan berhasrat memperkenalkan akta baru iaitu akta kebencian bangsa dan agama, maka lakukan yang itu. Sekiranya mahu pinda Akta 574 juga boleh.

Tapi tumpukan perhatian pada seksyen 298A itu. Tambahkan ayat bahawa ia tidak terpakai pada agama Islam sahaja tetapi pada semua agama bagi membebaskannya dari cengkaman duluan kes Mamat bin Daud. Dan tambahkan lagi hukuman lebih daripada lima tahun penjara. Mungkin 10 tahun lebih sesuai, bersama sebatan.

Sekiranya denda sahaja seperti dalam Seksyen 298 kini, ia tidak mencukupi. Selain itu, kerajaan juga mestilah takrifkan maksud agama. Fahaman sesat lagi mengelirukan seperti ateisme, satanisme itu bukan agama dan mampu menggugat kesepakatan hidup masyarakat kita yang berasaskan fahaman ketimuran.

Dan penghinaan agama juga harus dibezakan dengan kritikan terhadap agama (sebagai contoh melalui kegiatan ilmiah) yang harus dibenarkan menurut hak kebebasan bersuara yang diperuntukkan dalam Perkara 10(1)(a) Perlembagaan kita.

Sudah sekian lama pihak tertentu mahu akta ini dipinda namun baru sekarang ia akan dilaksanakan. Pendapat tuan.

Pendekatan kita masih bersifat reaktif berbanding proaktif. Saya syorkan bahawa Suruhanjaya Semakan Undang-Undang (Law Reform Commission) ditubuhkan bagi membolehkan semakan undang-undang dilakukan secara sistematik dan proaktif, bukan sahaja berkaitan akta ini tetapi seluruh undang-undang Malaysia.

Apa kesan kepada pihak tertentu seperti penceramah agama sedangkan mereka tidak dilihat menghina agama tertentu cuma membandingkan saja.

Itulah sebabnya perlu ditekankan bahawa penghinaan harus dibezakan dengan kritikan dan kritikan harus dibenarkan menurut hak kebebasan bersuara dalam Perlembagaan Persekutuan.

Bukan sahaja dalam Perlembagaan, tetapi Perkara 19 Perisytiharan Hak Asasi Manusia Sejagat juga membenarkan sebarang bentuk pendapat manakala Perkara 22(b) Perisytiharan Hak Asasi Manusia Dalam Islam Kaherah menggariskan keperluan menegakkan apa yang betul dan benar dan melarang apa yang salah menurut syariat.

Perkara 23 Perisytiharan Hak Asasi Manusia ASEAN pula menyatakan bahawa semua orang bukan sahaja bebas berpendapat, tetapi mendapat maklumat dari sebarang medium yang dikehendakinya.

Agama pula dicari untuk kebenaran dan hatta semua orang mengetahui bahawa cuma boleh ada satu kebenaran sahaja.

Ini bermakna sekiranya ada debat atau perbincangan ilmiah yang mana agama dibandingkan yang baik dan benar berbanding yang buruk dan salah, tidak harus menjadi suatu kesalahan berbuat demikian.

Bagaimana akta yang dipinda ini tidak dilihat sebagai mendiskriminasi sebahagian pihak dan pada masa sama menghukum pihak lain.

Ini boleh dicapai sekiranya kerajaan berpegang teguh pada prinsip kedaulatan undang-undang dan kesaksamaan di bawah undang-undang seperti yang digariskan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan.

Sebarang undang-undang haruslah dilaksanakan secara seimbang pada semua tanpa mengira kaum atau agama, baru masyarakat akan secara amnya berpuas hati kecuali yang cenderung pada ketidakadilan. Pelaksanaan undang-undang untuk melindungi kepentingan politik juga perlu dielakkan.

Pada pendapat tuan, adakah akta ini mampu menghindar pihak tertentu daripada terus menghina agama di negara ini?

Sekiranya masalah seperti yang diutarakan sebelum ini diatasi, maka tiada sebab akta ini boleh dilaksanakan dengan berkesan bagi menghindar pihak tidak bertanggungjawab menghina agama.

Tetapi kerajaan harus serius. Pendek kata, ‘don’t just want something, make it happen.’ Tidak lupa juga mereka harus ‘get their act together.’ Putuskan secara serius apa yang dikehendaki kerajaan sebenarnya.

Saya juga ingin menyentuh di peringkat antarabangsa, Majlis Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) melalui Resolusi 16/18 yang diluluskan pada 2011 mengutuk advokasi mana-mana kebencian agama yang menghasut, mendiskriminasi, permusuhan atau keganasan.

Dan peruntukan ini dirujuk di Mahkamah Hak Asasi Manusia Eropah yang memutuskan kes E.S melawan Austria di Strasbourg, 25 Oktober 2018 di mana mahkamah memperakui keputusan mahkamah Austria untuk menghukum pesalah kerana melukakan perasaan umat Islam akibat melabelkan Nabi Muhammad SAW sebagai pedofil.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 3 Mac 2019 @ 9:01 AM