Yusmizal Dolah Aling
yusmizal@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Siapa sangka dia bermula dengan menjual burger selama 10 tahun selepas tamat Sijil Rendah Pelajaran (SRP) pada 1980-an untuk membantu keluarga.

Namun, percaya kepada rezeki dan tidak jemu berusaha, kini Ali Syed Mohamed, 52, melebarkan sayap dengan membuka Ali Cafe di Jalan Pantai Baharu dengan bangunan tersergam bernilai lebih RM3 juta.

Katanya, bermodalkan RM500 untuk mempunyai gerai burger, dia memulakan perniagaan seawal 10 pagi hingga 1 pagi untuk mencari sesuap nasi menyara keluarga.

“Alhamdulillah, saya bertahan sampai hari ini. Sejak awal, tiada istilah bos atau tauke, sebaliknya dia bersama anak dan isteri berusaha sendiri mengendalikan perniagaan.

“Saya lalui pelbagai pengalaman pahit manis, jatuh bangun. Pernah seharian berniaga, dua biji saja yang laku. Tapi, saya tak patah semangat kerana ini saja pekerjaan yang saya mampu buat,” katanya.

Ali berkata, berkat prinsip tidak mudah mengalah dan berdisiplin dalam perniagaan, dia kemudian berniaga mi goreng bersama seorang adik angkat yang menjadi pembantu gerai dan dari situ mereka mula mengorak langkah.

Menurutnya, siang malam dia berdoa supaya setiap urusannya dipermudahkan, malah dia menjadikan bisnes itu untuk membantu orang lain kerana percaya, Allah akan murahkan rezeki dalam kehidupan.


RESTORAN Ali Cafe, Jalan Pantai Baharu. Gambar kecil, Ali Syed Mohamed. FOTO Nik Hariff Hassan & Zulfadhli Zulkifli.

“Saya bantu mahasiswa sejak empat tahun lalu. Minuman saya jual RM1 saja bila mereka tunjukkan kad siswa. Saya seronok bila dapat bantu, saya puas kerana saya pernah hidup susah.

“Sampai sekarang saya pergi ke gerai burger, tengok perkembangan anak-anak muda, tengok apa ramuan yang mereka guna.

“Selepas dua bulan saya tengok lagi, jika berkembang, baguslah. Saya bantu perbaiki mana yang boleh kerana intin melihat mereka juga berjaya satu hari nanti,” katanya.

Dia yang mengusahakan perniagaan itu bersama ahli keluarga berkata, ketika ini apa yang diharapkan ialah bantuan daripada kerajaan untuk terus membenarkan peniaga Bumiputera sepertinya menjalankan perniagaan.

Katanya, dia pernah diusir daripada berniaga kerana masalah teknikal, namun dengan bantuan Persatuan Peniaga dan Penjaja Bumiputera Kuala Lumpur, masalah itu dapat diatasi.

“Cuma saya tak tahu sampai bila. Jadi, saya minta, bagilah kami peluang berniaga. Saya mohon supaya dibantu kerana komitmen kewangan untuk buka kedai ini bukan sedikit, saya berhutang dengan kawan-kawan dan bank,” katanyayang kini menggaji 15 orang pekerja.

Ali juga boleh berbangga apabila Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) memberikan Anugerah Kedai Contoh kepada perniagaannya beberapa tahun lalu kerana tahap kebersihan yang begitu memuaskan.

Menerima itu sebagai suntikan semangat, Ali berkata, dia akan terus meletakkan kepuasan pelanggan sebagai asas dalam perniagaannya kerana baginya itu adalah amanah di atas rezeki dikurniakan Allah SWT.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 4 Mac 2019 @ 11:14 AM