KODALINE tukar angin muzik dari indie ke pop.
Georgie Joseph


PENCINTA band Kodaline yang berasal dari Ireland pasti tahu kebanyakan lagu mereka lebih ke arah indie. Elemen akustik menjadi tunjang lagu ciptaan mereka dan sarat emosi berat.

Bagaimanapun, band dianggotai Steve Garrigan selaku vokalis, Mark Prendergast (gitar utama), Vincent May (dram) dan Jason Boland (gitar bass) itu memutuskan untuk menggunakan pendekatan baru bagi album ketiga yang berjudul Politics of Living.

Mereka menerapkan elemen pop sebagai strategi baru malah turut bekerjasama dengan ramai penerbit muzik tersohor termasuk Steve Mac yang pernah menghasilkan lagu untuk Ed Sheeran.

Tidak ketinggalan guru pop, Johnny Coffer (Beyonce), Jonas Jeberg (Kylie Minogue), Stephen Harris (Kaiser Chiefs) dan Johnny McDaid (Pink).

Ditemui RAP baru-baru ini, Mark berkata mereka sangat berbesar hati apabila meraih pengalaman berbeza ketika pembikinan album itu. Bukan saja seronok bekerja dengan ramai penerbit handalan bahkan membuka perspektif baru buat mereka.

“Khusus buat album baru kami memutuskan untuk bertukar angin dan melebihkan elemen pop.

Sebenarnya dalam album kedua dan ketiga ada lagu berunsur pop namun kami sentiasa hasilkan lagu akustik dengan banyak menggunakan instrumen gitar serta piano.

“Namun, kali ini kami bereksperimentasi apabila menggabungkan pelbagai bunyi dengan bantuan penerbit berkenaan.

“Kami juga sentiasa terbuka dan tidak pernah menolak idea yang dikemukakan mereka. Ternyata, bekerja dengan mereka memberikan perspektif baru dan berbeza,” katanya.

Mark tidak menafikan bekerja dengan ramai orang mempunyai cabaran tersendiri. Bagaimanapun, itu bukan satu kekangan bagi Kodaline sebaliknya ia membantu transisi muzik mereka.

“Kami tidak lihat itu sebagai satu masalah sebaliknya ia cara terbaik untuk kami belajar jadi lebih bagus. Ada di antara penerbit itu dapat menghasilkan lagu dengan sangat pantas.


DAPAT pengalaman baru bekerjasama dengan penerbit muzik hebat dunia.

“Kami pula suka ambil masa lama untuk hasilkan sesebuah karya dan pengalaman baru ini secara tidak langsung buka mata kami. Tidak pernah terbayang kami dapat peluang bekerjasama dengan mereka yang sangat kami sanjungi.

“Cabaran lain yang kami hadapi adalah berpindah studio rakaman berbeza. Kami kena pergi ke 12 lokasi dan perlu membuat penetapan bunyi instrumen seperti dram serta gitar berkali-kali di setiap lokasi,” katanya.

Semakin rancak mengelilingi dunia dan membuat persembahan di pelbagai negara, Kodaline bersyukur dapat belajar mendekati dan memahami pelbagai budaya. Bagi mereka, transisi kerjaya bukan setakat muzik sebaliknya cara melihat kehidupan seantero dunia.

“Bukan pengaruh muzik yang kami dapat apabila mengunjungi tempat baru sebaliknya cara kami melihat kehidupan. Kami belajar banyak budaya atau cara kehidupan orang lain sepanjang kunjungan itu.

“Contohnya apabila membuat penggambaran di jalanan di Indonesia, tak sangka kami dapat menyaksikan kehidupan sangat berbeza. Begitu juga negara lain termasuk China dan Jepun.

“Mulanya memang akan terkejut tetapi itulah hakikat bahawa kehidupan setiap masyarakat di dunia berbeza. Kami beruntung kerana dapat peluang itu dan bukan terperuk saja di tempat sendiri” katanya.

Pencapaian demi pencapaian diraih lebih tujuh tahun bertapak pastinya sangat bermakna untuk dikenang. Malah, Mark menjelaskan mereka teruja untuk terus menghasilkan muzik buat semua pendengar.

“Kami masih ingat bagaimana luar biasanya sambutan peminat di Kuala Lumpur sewaktu ke sini beberapa tahun lalu. Disebabkan itu, kami bersemangat untuk kembali dengan persembahan berskala lebih besar.

“Kami tidak terfikir mahu melakukan perkara lain selain apa yang kami buat sekarang. Kami percaya muzik menyatupadukan dunia dan itu terbukti apabila kami bertemu peminat di negara yang bahasa utamanya bukan Inggeris.

“Dalam fikiran kami hanyalah untuk terus membuat muzik yang jauh lebih baik dan terus meraih pengikut baru. Kalau boleh, kami mahu terus menjadi pemuzik sampai akhir hayat,” katanya.

Kodaline berkunjung ke Kuala Lumpur minggu lalu sempena menjayakan konsert Politics of Living Tour 2019 yang berlangsung di KL Live. Band itu juga pernah menjayakan acara Good Vibes 2017 di Genting Highlands.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 6:00 AM