Dziyaul Afnan Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


“MAK cik saya lapaq (lapar), ibu tak dak (tiada) di rumah.”

Itu tangisan dan rayuan kanak-kanak perempuan berusia tujuh tahun dikurung bersendirian oleh ibunya selama lima hari di rumahnya di Taman Hijrah di sini, sejak Rabu lalu.

Perkara itu didedahkan jiran yang enggan dikenali ketika ditemui di kawasan perumahan terbabit semalam.

Menurut jiran terbabit, ibu kanak-kanak itu dilihat sering keluar dari rumahnya bersama teman lelaki pada waktu malam dan meninggalkan anaknya berusia tujuh tahun berseorangan.

“Kami hanya tahu dia (kanak-kanak) ditinggalkan ibunya selepas terdengar dia merayu ‘mak cik, saya lapaq’ di tingkap rumah.

“Jiran yang terdengar rayuannya ke rumah berkenaan dan mendapati pintu jeriji di hadapan dan belakang rumah berkunci,” katanya.

Katanya, atas dasar simpati mereka semua memberikan makanan kepada kanak-kanak itu melalui tingkap rumah.

“Kami tidak tahu bila ibunya akan pulang dan kami menghantar makanan kepadanya jika terdengar rayuan dari rumahnya.

“Ibu kanak-kanak itu memang tidak bergaul dengan masyarakat setempat jadi kami pun tidak tahu bila dia akan pulang menjenguk anaknya,” katanya.

Katanya, kanak-kanak itu hanya diam jika dia tertidur atau kenyang selepas diberikan makanan.

“Kami kasihan melihatnya, pada awalnya penduduk enggan melaporkan perkara berkenaan kepada polis kerana menyangka ibu kanak-kanak itu akan pulang dalam waktu terdekat.

“Tetapi simpati melihat keadaan budak perempuan itu, jiran melaporkannya demi keselamatan kanak-kanak berkenaan,” katanya.

Menurutnya, penduduk di perumahan itu terkejut dengan kejadian terbabit dan tidak sepatutnya kanak-kanak dibiarkan sendirian di rumah.

“Jika perlu keluar dalam tempoh lama sepatutnya wanita itu maklumkan pada jiran, kami boleh bantu menjaganya,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 5 Mac 2019 @ 9:00 AM