FIEYA (tengah) bersama Yazid (kiri) dan Luqman. FOTO/NURUL SYAZANA ROSE RAZMAN.


TIGA anak muda yang berjuang atas dasar minat ini masih hijau dalam dunia seni suara tanah air.

Sepanjang berusaha meletakkan nama sebaris dengan penyanyi yang digelar Budak Baru Nak Up atau BBNU yang menjadi kegilaan ramai, Luqman Faiz, Fieya Julia dan Yazid Izaham akur laluan mereka bukan mudah.

Meski berdepan banyak dugaan, tiga bintang muda ini enggan mengalah sebaliknya tekad meneruskan langkah hingga bakat mereka diiktiraf.

Ternyata usaha mereka tidak sia-sia apabila single sulung masing-masing berjaya mencecah lebih 13 juta tontonan di YouTube.

Teruja dengan sambutan hebat itu, mereka yang bernaung di bawah syarikat pengurusan Aries Music bagaimanapun belum berpuas hati dengan pencapaian itu dan berazam melipatgandakan usaha.

Luqman tak salah pilih

Sejak penayangan drama Mawar Murni lakonan Saharul Ridzwan dan Fasha Sandha, status Luqman, 19, sebagai penyanyi berubah secara total apabila video muzik lagu Kepuraanmu berjaya mencatat lebih 16 juta tontonan di YouTube.

Impak populariti yang diraih Luqman nyata memberi sinar baharu sekali gus berasakan keputusan berhenti belajar dalam bidang Ukur Bangunan di Universiti Teknologi Mara (UiTM) Seri Iskandar, Perak tahun lalu adalah jalan terbaik buat dirinya.

“Bagi saya keputusan dibuat tahun lalu adalah yang terbaik. Saya bersyukur ibu merestuinya dan mahu melihat saya berjaya dalam bidang nyanyian.

“Walaupun ibu menangis dan sedih ketika itu, saya buktikan kepadanya keputusan ini bukan main-main. Saya gembira apabila lagu Kepuraanmu mendapat tempat di hati pendengar,” katanya.

Enggan mengecewakan ibunya, Luqman kembali menyambung pengajian dalam jurusan muzik di UiTM, Shah Alam pada 25 Februari lalu.

“Keluarga saya amat mementingkan akademik dan perlu ada sekurang-kurangnya diploma. Oleh itu, saya menyambung pengajian dalam bidang muzik di UiTM Shah Alam. Pengajian yang saya ikuti ini lebih ringan berbanding sebelumnya dan kampus juga dekat dengan rumah.

“Saya juga senang hati kerana jadual semakin padat. Insya-Allah saya akan muncul dengan single baru tidak lama lagi.

“Diharap 2019 melakar banyak kenangan manis buat kerjaya saya,” katanya.

Fieya lega impian jadi kenyataan

Siapa tidak gembira jika percubaan pertama menjadi dan melonjakkan namanya dalam sekelip mata. Itulah yang dirasai Fieya apabila lagu Perasaanku mencatat lebih 13 juta tontonan di YouTube serta disenaraikan dalam carta popular radio tempatan.

Nyata dia lega apabila keputusan meninggalkan keluarga di Kuching, Sarawak demi mengejar impian bergelar penyanyi berbaloi dilakukan.

“Saya minat menyanyi sejak di sekolah rendah dan pernah memasuki pertandingan Bintang Kecil RTM peringkat Sarawak sebelum ini.

“Takdir saya bermula selepas bernaung di bawah pengurusan Aries Music pada pertengahan Mei tahun lalu. Bahagia rasanya apabila impian bergelar penyanyi dan memiliki single sulung tercapai.

“Namun, niat utama saya memasuki bidang ini adalah untuk mengubah nasib keluarga. Saya berharap kehadiran diri ini diterima peminat dan penggiat seni lain.

“Saya juga bersedia bersaing secara positif dengan artis baru sedia ada bagi mendapat tempat dalam dunia hiburan,” katanya.

Yazid tak kecil hati

Meski tiga tahun bergelar penyanyi dan dua single yang dipertaruhkan mendapat tontonan tinggi di YouTube, Muhammad Yazid Mohd Izaham atau lebih dikenali Yazid Izaham tidak berkecil hati apabila kemunculannya belum disedari khalayak.

“Awalnya memang sedih apabila lagu popular tapi ramai tidak kenal pemilik suara. Ketika itu, saya kembali kuat selepas rakan tidak putus memberikan kata semangat.

“Tak mengapalah lambat dikenali kerana saya percaya pasti ada hikmah di sebaliknya. Mungkin ia beri saya lebih masa untuk belajar dan memperbaiki diri,” katanya.

Sambung Yazid, barangkali namanya tidak dikenali kerana terikat dengan komitmen sebagai pelajar sehingga jarang turun padang mempromosikan dirinya.

“Saya bakal menamatkan pengajian Diploma Kejuruteraan Elektrik dan Elektronik di Politeknik Sultan Haji Ahmad Shah, Kuantan tidak lama lagi.

“Sepanjang melanjutkan pelajaran, saya jarang turun padang mempromosikan lagu di radio dan media.

“Banyak peluang terpaksa dilepaskan tetapi saya nekad untuk kembali aktif dalam bidang nyanyian tahun ini,” katanya yang bersyukur single pertama Mudahnya Kau Berubah meraih lebih 13 juta tontonan manakala single keduanya Apa Salahku mencatat 7.8 juta tontonan di YouTube dalam tempoh enam bulan dilancarkan.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 6:30 AM