NORDIN berjalan menyeberangi Sungai Golok untuk ke seberang kerana paras air Sungai Golok yang cetek.
Siti Nor Hidayatidayu Razali
sitinor@nstp.com.my


FENOMENA sungai kering yang berlaku di Sungai Golok di sini, empat tahun lalu berulang lagi tahun ini apabila penduduk di sekitar sempadan boleh menyeberangi sungai ke Golok, Thailand dengan hanya berjalan kaki tanpa menggunakan bot.

Kesempatan itu digunakan oleh penduduk yang tinggal di beberapa pangkalan termasuk di Pangkalan Pasir, Ibrahim Pencen dan Bukit Lata untuk berulang-alik ke negara jiran bagi urusan harian.

Manakala pengusaha bot juga perlu mengehadkan bilangan penumpang kepada dua orang sahaja memandangkan paras air sungai yang cetek.

Tinjauan Harian Metro di sekitar Sungai Golok mendapati, sebelum ini lebar sungai kira-kira 20 meter dan sebahagiannya menjadi daratan akibat kemarau.

Mengikut portal e-banjir, Sungai Golok berada pada paras 3.5 meter berbanding paras normal iaitu 5 meter.

Penduduk, Ariffin Zakaria, 56, dari Kampung Cabang Tiga Bagus berkata, fenomena sungai kering yang berlaku pada 2015 berulang tahun ini.

“Empat tahun lalu paras sungai surut berlaku April namun tahun ini agak awal apabila ia berlaku pada Mac. Saya jangka paras sungai akan kering dan membolehkan kawasan ini menjadi pesta jualan seperti sebelum ini,” katanya ketika ditemui di Pangkalan Pasir di sini, semalam.

Peniaga, Nordin Mamat, 50, berkata, empat tahun lalu dia mengambil peluang berniaga di kawasan sungai kerana ramai pengunjung luar datang.


PARAS air Sungai Golok di Pengkalan Che Kassim cetek berikutan cuaca panas.

“Ketika itu, saya menjual air dan makanan serta mampu memperoleh pendapatan antara RM200 hingga RM300 sebulan.

“Jika paras sungai kering, saya dan penduduk di sini sekali lagi akan mengambil peluang berniaga,” katanya.

Menurutnya, pihak Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga dilihat sentiasa membuat kawalan dari semasa ke semasa memandangkan orang ramai boleh menyeberangi sungai dengan hanya berjalan kaki.


Husin Sarrif melihat daun pokok getahnya yang telah luruh kesan dari fenomena kepanasan melampau di kebunnya di Kampung Lonek. FOTO/AMRAN YAHYA.

Terpaksa menoreh selang sehari

Cuaca panas melanda seluruh negara turut dirasai penoreh getah sekitar daerah ini apabila mendapati hasil susu getah semakin berkurangan akibat fenomena berkenaan.

Penoreh, Husin Sarrif, 57 berkata, sebelum ini dia mula menoreh di kebunnya di Kampung Lonek, sekitar jam 7.30 pagi, tetapi terpaksa menoreh seawal jam 6.45 pagi disebabkan cuaca panas lebih awal.

Katanya, panas melampau di seluruh negara mengakibatkan daun pokok getah luruh dan cahaya matahari boleh menembusi sehingga tanah.

“Kesan daripada ini menyebabkan hasil torehan makin berkurung. Keadaan ini dirasai sejak bulan lalu dan saya perlu ke kebun sebaik selesai solat Subuh,” katanya.

Menurut Husin, jika sebelum ini hanya tiga hari diperlukan untuk memenuhi setiap cawan dengan susu getah, tetapi kini walaupun dibiarkan selama satu minggu, ia tidak memperoleh kuantiti sama.

“Kesan kepanasan melampau juga memberi kesan kepada kulit pokok getah. Sebelum ini, saya menoreh setiap hari dan sekarang terpaksa menoreh dua hari sekali.

“Ia berlaku kerana pokok getah kekurangan hasil dan jika dilakukan setiap hari akan merosakkan kulit pokok,” katanya yang mengusahakan ladang getah seluas satu hektar.

Katanya, disebabkan itu, dia hanya mampu memperoleh 15 kilogram (kg) dalam tempoh dua hari berbanding 30kg sehari sebelum ini.

“Hasil ini perlu dibahagi dua bersama pemilik kebun dan bayangkan pendapatan yang saya peroleh,” katanya.

Jelasnya, keadaan dijangka lebih teruk bulan hadapan memandangkan berlaku perubahan musim bagi tanaman itu.

“Pada April, daun pokok getah mulai tumbuh dan ketika itu pengeluaran susu akan merosot.

“Dalam keadaan kian menekan, saya berharap harga getah meningkat berbanding sekarang sekitar RM2.30 sekilogram,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Rabu, 6 Mac 2019 @ 8:01 AM