FAIZ (kiri) yakin video rembatan Syahmi mampu tersenarai dalam 10 jaringan terbaik dunia sepanjang tempoh 2018/2019. FOTO/NSTP
Firdaus Hashim


BEKAS pemenang Anugerah Puskas FIFA 2016, Faiz Subri percaya gol hebat yang dijaringkan bek kanan negara, Syahmi Safari mampu tersenarai dalam 10 jaringan terbaik dunia sepanjang tempoh 2018/2019 ini.

Menurut bekas pemain Pulau Pinang itu, gol yang dilakukan Syahmi ketika aksi separuh akhir kedua Piala AFF menentang Thailand pada Disember lalu sangat menarik dan mampu mencabar ratusan gol lain dari seluruh dunia.

Katanya, keunikan gol yang terhasil menerusi tujuh hantaran membabitkan tujuh pemain bermula daripada penjaga gol, Farizal Marlias sebelum disudahkan dengan sepakan kaki kanan menarik oleh Syahmi amat luar biasa seolah-olah ia dihasilkan melalui permainan video.

“Setiap pemain ada kelebihan tersendiri dan Syahmi juga ada keistimewaan, bahkan gol yang dijaringkan di Piala AFF itu nampak cantik dan tersusun macam orang main ‘video game’.

“Saya harap gol itu tercalon dalam 10 terbaik sebelum ia mula diundi oleh penyokong seluruh dunia, kalau ada rezeki boleh masuk ke tiga teratas,” katanya ketika dihubungi Arena Metro.

Semalam, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) mengesahkan akan mencalonkan jaringan pemain muda Red Giants, Syahmi Safari ke anugerah berkenaan bagi tahun ini.

Jaringan terbabit dihasilkan pemain pertahanan itu dari luar kotak penalti pada minit ke-28 di Stadium Rajamangala, Bangkok yang menyaksikan skuad Harimau Malaya mara ke pentas akhir dengan kelebihan gol di tempat lawan menerusi agregat 3-3.

“Apa yang saya boleh kongsikan, Syahmi perlu sentiasa berdoa dan jaga diri dengan baik kerana selepas ini seluruh mata pasti akan terarah kepadanya.

“Walaupun baru dicalonkan dan belum lagi memenangi anugerah itu, FAM secara tidak langsung mengiktiraf jaringannya itu sebagai antara yang terbaik daripada pemain tempatan,” katanya yang menjaringkan gol lencong luar biasa menerusi sepakan percuma ketika membantu Pulau Pinang membenam Pahang 4-1 di Stadium Bandaraya, pada 16 Februari 2016 lalu.

Pada Anugerah FIFA 2016 itu, Faiz mencipta sensasi apabila muncul pemain bola sepak Asia pertama yang merangkul gelaran Puskas di Zurich, Switzerland yang disiarkan secara langsung ke seluruh dunia.

Sepakan Faiz dipilih sebagai jaringan terbaik di dunia selepas menerima undian keseluruhan sebanyak 59.46 peratus dan menewaskan pesaingnya Johnath Marlone Azevedo da Silva dari Brazil (22.86 peratus), wakil tunggal pemain bola sepak wanita Daniuska Rodriguez dari Venezuela (10.01 peratus) dan lain-lain (7.68 peratus).

Artikel ini disiarkan pada : Khamis, 7 Mac 2019 @ 7:30 AM