Khai bersama Ahli Jawatankuasa KBE.
Sudirman Mohd Tahir


TANGGAL 28 Februari lalu genap 25 tahun usia penyanyi popular Khai Bahar.

Selain ucapan daripada keluarga tercinta, Khai juga dihujani ucapan ulang tahun daripada jutaan peminat dari seluruh negara serta kelab peminat Khai Bahar Empire Singapura, Indonesia, Brunei dan Hong Kong.

Lebih istimewa, Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin menerima titipan ucapan hari lahir daripada idolanya, Datuk Seri Siti Nurhaliza.

Menerusi kiriman video itu, Siti berharap Khai yang popular menerusi lagu Luluh akan terus bersikap merendah diri sekali gus disayangi ramai orang.

Bagi Khai, ucapan itu cukup bermakna dan menjadikannya lebih bersemangat untuk berjaya dalam bidang seni seperti Siti.

Ibu Khai menyuap kek.

“Saya terkejut apabila menerima kiriman video ucapan daripada Tok Ti (Siti). Dia sangat ikhlas memberikan ucapan itu.

“Bagi saya, ucapan itu bukan biasa-biasa apatah lagi dititipkan nasihat yang sangat berharga. Saya akan ingat sampai bila-bila dan cuba untuk menjadi seperti disampaikan,” katanya.

Menurut Khai, dia tidak menjangka sama sekali apabila segelintir pihak termasuk dalam kalangan peminat melabel dirinya sebagai Siti Nurhaliza versi lelaki.

Meski masih jauh ketinggalan dari segi pencapaian kerjaya, ramai beranggapan sikap dan keperibadian ditunjukkan Khai ibarat jelmaan Siti.

“Saya tidak boleh nafikan pandangan setiap orang. Masing-masing ada persepsi sendiri.

“Namun, apabila dikatakan saya Siti Nurhaliza versi lelaki, bagi saya ia satu penghargaan. Malah, ia menjadikan saya lebih bersemangat.

“Pada masa sama, saya berasakan ia sangat berat dan takut nak bawa gelaran itu. Saya masih budak baru belajar dan jauh berbeza jika mahu dibandingkan dengan apa yang Tok Ti miliki.

Gimik Khai masuk dewan dengan menaiki basikal.

“Cuma, apa boleh dikatakan saya cuba menjadi diri sendiri. Apa yang orang semua tengok dari awal pembabitan saya hingga sekarang, itulah saya. Dari semasa ke semasa saya akan berusaha untuk menjadi lebih baik dan berjaya seperti Tok Ti,” katanya.

Dapat kerusi urut

Sempena sambutan ulang tahun itu, kelab peminat Khai Bahar Empire (KBE) menganjurkan majlis bertemakan retro.

Majlis ketiga anjuran KBE sempena hari jadi Khai itu dihadiri keluarga dan 200 peminat yang datang dari serata negeri.

Berbeza daripada tahun sebelumnya, kali ini Khai dikejutkan apabila mendapat hadiah kerusi urut yang dianggarkan berharga RM4,000 daripada ahli

kelab peminat KBE Singapura.

“Saya difahamkan hadiah ini dibeli hasil perkongsian 40 ahli KBE Singapura. Saya tidak tahu mahu cakap apa selain mengucapkan ribuan terima kasih. Memang tidak menjangka sama sekali dapat kerusi urut.

Khai bergambar bersama kek tajaan sempena hari jadinya.

“Bagi saya, ini hadiah yang sangat bagus. Memang sesuai untuk saya yang sentiasa sibuk dengan kerja. Sekurang-kurangnya boleh digunakan untuk merehatkan badan.

“Apapun, saya mengang­gap setiap hadiah yang diberikan peminat sempena hari jadi atau pada bila-bila waktu sebagai sesuatu yang sangat istimewa.

“Sebelum menjadi artis tidak pernah pun dapat hadiah mewah dan dalam kuantiti banyak,” katanya.

Khai turut berkongsi, pada usia sekarang fokus utamanya adalah ingin membahagiakan ibu bapa dan adik-beradik.

“Dalam kerjaya, saya ingin memajukan lagi diri. Saya tidak mahu berada pada tahap sama. Setiap komen dan kritikan diterima saya anggap motivasi dalam menjadikan diri lebih baik.

“Saya juga tidak akan berhenti berusaha. Saya sedar ramai yang ingin melihat saya berjaya terutama peminat. Jadi, saya akan cuba sehabis baik ditambah pula dengan sokongan padu daripada mereka.

“Untuk diri sendiri, saya mahu memberi kesenangan dan membahagiakan keluarga. Banyak lagi yang saya ingin buat untuk mereka. Bagi saya, tanpa sokongan mereka saya tidak akan berada di sini,” katanya.

Ditanya soal mencari pasangan dan seterusnya berumah tangga, Khai mengakui belum terfikir ke arah itu.


“Saya muda lagi. Masih banyak yang ingin dibuat dan dicapai terutama dalam kerjaya. Bagi saya, belum sampai waktu untuk fikir soal kahwin.

“Malah, pada usia sekarang saya berasakan belum cukup matang untuk memberi komitmen jika berkahwin. Jadi, saya belum bersedia.

“Saya takut tak boleh nak uruskan dengan baik. Disebabkan itu, saya tidak mahu terburu-buru. Insya-Allah, kalau ada jodoh tak ke mana,” katanya.

Namun begitu, Khai berkongsi ada peminat menawarkan diri untuk menjadi kekasihnya.

“Dalam ruangan komen ramai yang mahu saya jadi teman lelaki mereka. Saya anggap mereka bergurau dan tidak pernah ambil serius pun. Lagipun, ini perkara biasa dan ramai artis lain berdepan perkara sama,” katanya.

Album solo

Beralih perihal karier, Khai kini dalam proses menyiapkan album sulung yang memuatkan 12 lagu.

“Dalam album ini ada empat lagu baharu selain beberapa single yang sudah dilancarkan.

“Daripada empat lagu baharu itu, tiga adalah lagu ciptaan sendiri dan satu daripada komposer Indonesia. Semua lagu itu berentak balada,” katanya.

Berkenaan khabar angin mengatakan dia bakal meninggalkan syarikat rakaman NAR Records, Khai selesa menyerahkan perkara itu kepada pengurusnya.

“Kalau ikutkan kontrak saya tamat pada pertengahan tahun ini. Sambung atau tidak, ia masih dalam peringkat rundingan.

“Saya menyerahkan segala-galanya kepada pengurus. Saya ikut saja mana yang terbaik,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 5:01 AM