GELAGAT kanak-kanak Rohingya pada program pemeriksaan kesihatan kanak-kanak sekolah pelarian Rohingya anjuran NGO ASWA dengan kerjasama ANAK.

Skuad Khas Harian Metro

[email protected]

“GENERASI muda Rohingya yang tinggal di negara ini perlu diterapkan dengan pendidikan menjadi insan baik supaya apabila dewasa boleh memperjuangkan nasib dan hak di negara asal Myanmar.

“Mereka perlu tahu asal-usul status sebagai pelarian yang tidak selama-lamanya menetap di Malaysia dan kita mahu elak mereka terbabit dengan jenayah seperti menjadi ejen aktiviti penyeludupan manusia, khususnya terhadap etnik sendiri,” kata Haider Kotwal, 41.

Pengarah Serantau Asia Tenggara As-Salaamah Wal’Adaalah (ASWA) yang menguruskan tiga sekolah Rohingya di Ampang Jaya, Seri Kembangan dan Sentul itu mengulas laporan eksklusif Harian Metro mengenai kegiatan segelintir etnik Rohingya tinggal lama di negara ini mengaut untung ‘menjual’ saudara sedarah yang kesulitan untuk masuk ke Malaysia.

Beliau berkata, senario memalukan dan menyedihkan itu tidak sepatutnya berlaku jika mereka sedar diri dan berpendidikan.

Haider menjelaskan, masalah utama ialah ada segelintir ibu bapa dalam kalangan pelarian Rohingya yang tidak bertanggungjawab lebih gemar menyuruh anak mereka mengemis berbanding bersekolah.


KANAK-KANAK sekolah pelarian Rohingya turut diajar cara yang betul memberikan bantuan kecemasan.

“Sukar untuk hidup di negara asal, jadi sangat menyedihkan apabila diberikan perlindungan meneruskan hidup di Malaysia, segelintir mereka kaut untung daripada kepayahan saudara senasib yang mahu ke sini.

“Sebab itu, ASWA menekankan aspek pendidikan kepada anak Rohingya supaya mereka tidak terjebak dengan pelakuan seperti ini. Mereka perlu tahu penghijrahan ke negara ini untuk membentuk jati diri menjadi insan baik dan kuat, seterusnya kembali mencurah bakti di tanah air,” katanya.

Beliau ditemui ketika program pemeriksaan kesihatan untuk kanak-kanak sekolah pelarian Rohingya anjuran NGO ASWA dengan kerjasama Allied Care for Neglected and Abandoned Kids (ANAK) di sini, semalam.

Mengenai ASWA katanya, NGO Islam itu berpangkalan di Belanda dan kos operasi tiga sekolah pelarian Rohingya di Malaysia berjumlah RM40,000 sebulan kendalian ASWA disalurkan dari negara Eropah itu.


HAIDER

Menurutnya, buat masa ini, tiga sekolah pelarian Rohingya beroperasi sejak 2013 di sini, boleh memuatkan kapasiti maksimum 200 pelajar.

Muka depan Harian Metro 1 Mac lalu bertajuk Jual Kaum Sedarah mendedahkan sindiket pemerdagangan manusia mengenakan caj RM5,000 hingga RM16,000 sekepala kepada etnik Rohingya yang berada di kem pelarian Cox Bazar, Bangladesh untuk diseludup masuk ke negara ini.

Sementara itu, pengasas ANAK yang juga pakar kanak-kanak sebuah hospital kerajaan, Dr Priya Lakshmy berkata, ini kali pertama pihak mereka dijemput untuk program sekolah pelarian kanak-kanak Rohingya.

“Selain pemeriksaan kesihatan dan pergigian percuma diberikan gabungan pengamal kesihatan kerajaan serta swasta daripada pelbagai kepakaran, pelajar turut didedahkan mengenai aspek penjagaan kebersihan diri.

“Antara masalah kesihatan dihadapi pelajar ialah kulit, kutu, jangkitan kuman dan pertumbuhan terencat,” katanya yang pernah dihantar bertugas di Hospital Medan Cox Bazar pada Disember 2017.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 8:02 AM