BAYI lelaki dibuang dalam mangkuk tandas hospital di Selayang, hari ini kini dirawat dan dilaporkan dalam keadaan stabil. FOTO ihsan polis.
Hasbi Sidek
am@hmetro.com.my


BAYI lelaki dipercayai baru dilahirkan ditemui dalam mangkuk tandas sebelum diselamatkan pengawal keselamatan di sebuah hospital di Selayang, hari ini.

Bayi berada dalam keadaan stabil itu ditemui seorang wanita berusia 39 tahun yang berada di lokasi ketika seorang wanita dipercayai ibu kepada bayi berkenaan membuangnya ke dalam mangkuk tandas pada 3 petang.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Samsor Maarof berkata, ibu kepada bayi berkenaan dibawa pengawal keselamatan dan ditahan di zon merah hospital sama.

“Seorang pekerja kilang memaklumkan ketika berada di tandas wanita berhampiran zon kecemasan, dia mendapati seorang wanita tidak dikenali membuang bayi ke dalam mangkuk tandas.

“Wanita itu kemudiannya memaklumkan kepada pengawal keselamatan sebelum bayi itu diselamatkan dan dihantar ke zon merah.

“Bayi dalam keadaan stabil dan tidak cedera,” katanya ketika dihubungi.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan.

Artikel ini disiarkan pada : Ahad, 10 Mac 2019 @ 11:29 PM