PATI yang ditahan Pasukan ronda Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5RS). FOTO Ihsan ATM
Noorazura Abdul Rahman
am@hmetro.com.my


AKIBAT kelaparan dan terlalu lemah, seramai 22 pendatang asing tanpa izin (PATI) menyerah diri kepada anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) ketika cuba menyeludup masuk ke negara ini berhampiran Bukit Tangga di Bukit Kayu Hitam, semalam.

Panglima 6 Briged Brigadier Jeneral Datuk Abdul Aziz Ismail berkata, 22 PATI warga Myanmar itu ditahan pasukan ronda Batalion Ke-5 Rejimen Sempadan (5RS) dalam dua kejadian berasingan di kawasan bukit laluan batas paip berhampiran Pos 1 dan 2.

Katanya, dalam kejadian pertama jam 9.40 pagi, kumpulan ronda yang diketuai Leftenan Muhammad Farid Mahfoz ternampak 16 lelaki dan empat wanita sedang berjalan di kawasan bukit berkenaan.

“Setelah membuat kepungan, PATI terbabit menyerah diri dan gagal menunjukkan sebarang dokumen perjalanan yang sah, tiada yang cuba melarikan diri berikutan keadaan mereka yang sangat lemah dan kelaparan.

“Mereka dipercayai menempuh perjalanan jauh termasuk merentasi bukit untuk sampai ke sempadan negara,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Abdul Aziz berkata, pada jam 3.40 petang pula, kumpulan ronda yang diketuai Sarjan Ahmad Rusli Mat Daud ternampak dua lelaki yang sedang berjalan di kawasan bukit di Pos 2.

Katanya, dua lelaki terbabit turut menyerah diri setelah ternampak pasukan berkenaan dan diberikan minuman.

“Dua lelaki ini dipercayai serpihan daripada kumpulan pertama yang ditahan pada sebelah pagi, mereka turut gagal menunjukkan dokumen perjalanan yang sah.

“Kesemua PATI berusia antara 14 hingga 53 tahun itu kemudiannya dibawa ke Balai Polis Bukit Kayu Hitam untuk tindakan lanjut,” katanya.

Artikel ini disiarkan pada : Isnin, 11 Mac 2019 @ 9:00 AM