DR Mahathir menjawab soalan media, semalam. -Foto NSTP
Hairulazim Mahmud


KUALA LUMPUR: Tun Dr Mahathir Mohamad tidak kisah dengan ‘perkahwinan’ antara UMNO dan PAS kerana Malaysia sebuah negara demokrasi.

Perdana Menteri berkata, parti pembangkang bebas bersatu dengan mana-mana parti sekali pun.

“Kalau dia nak bersatu, dia bersatulah, dia nak kahwin, dia kahwinlah.

“Negara kita bebas, cuma dia nak kahwin dengan lelaki tak boleh lagi tapi dia nak kahwin dengan yang lain boleh,” katanya selepas Istiadat Pembukaan Mesyuarat Penggal Kedua Parlimen ke-14 di sini, semalam.

Majlis itu disempurnakan Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.


AL-SULTAN Abdullah berkenan menerima buku titah Diraja yang disampaikan Dr Mahathir.

Perdana Menteri berkata demikian ketika mengulas mengenai gelombang sokongan kaum Melayu kepada UMNO dan PAS selepas kedua-dua parti itu mengisytiharkan kerjasama berdepan Pakatan Harapan (PH) pada pilihan raya kecil yang diadakan selepas ini.

Sementara itu, Dr Mahathir menegaskan kerajaan juga menjaga kepentingan kaum Melayu tanpa membuat kecoh mengenainya.

Perdana Menteri berkata, berbanding parti pembangkang, kerajaan tidak pernah mengabaikan kaum Melayu, apatah lagi memisahkannya dengan kaum lain.

“Mereka (pembangkang) cuba memisahkan (kaum) Melayu dengan kaum lain sedangkan itu sangat buruk untuk sebuah negara berbilang kaum.

“Pakatan Harapan tidak pernah mengabaikan kepentingan kaum Melayu dan kita bukan sekadar sama rata tetap juga adil kerana hubungan kita ialah berkongsi sama,” katanya.


TIMBALAN Perdana Menteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail (kanan) dan Menteri Dalam Negeri Tan Sri Muhyiddin Yassin (tengah) berbual bersama Menteri Kewangan Lim Guan Eng.

Mengenai titah ucapan Yang di-Pertuan Agong, Dr Mahathir berkata, baginda menyentuh semua sudut penting pentadbiran kerajaan dan rakyat di negara ini.

“Pastinya baginda bercakap soal perpaduan, agama, jangan menyalahgunakan agama selain isu ekonomi.

“Ia titah yang sangat komprehensif,” katanya.

Ditanya mengenai ciapan Tunku Mahkota Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim yang mempersoalkan kewajaran penyertaan Malaysia dalam Statut Rom Mahkamah Jenayah Antarabangsa (ICC), Perdana Menteri berkata, “Dia bukan wakil rakyat, dia cakap untuk diri dia.”

Artikel ini disiarkan pada : Selasa, 12 Mac 2019 @ 7:30 AM